Legenda Rock Bersatu di Gegar Panggung, Search ‘Kiddin’ & Spider Beraksi Percuma

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selaras dengan komitmen berterusan terhadap pengembangan seni muzik dan budaya di ibu kota, memperkenalkan Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, sebuah inisiatif berterusan bagi menghidupkan semula Panggung Anniversari, antara pentas seni paling ikonik dan bersejarah di Kuala Lumpur. Sejak awal penubuhannya, Panggung Anniversari telah menjadi saksi kepada perjalanan dan evolusi seni tanah air, merangkumi pelbagai bentuk ekspresi termasuk muzik, teater, puisi, tarian tradisional, serta persembahan moden dan eksperimental yang merentas generasi. Keberadaannya bukan sekadar simbol sejarah, tetapi juga sebahagian daripada memori kolektif warga kota dan landskap budaya Kuala Lumpur.

Sebagai pembuka tirai program Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, DBKL melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS) akan mempersembahkan Konsert GEGAR PANGGUNG, menampilkan dua kumpulan legenda rock tanah air, SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER, secara percuma di pentas terbuka ikonik ini. Konsert akan berlangsung pada Sabtu, 24 Januari 2026, bermula jam 8.30 malam bertempat di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana. Persembahan akan dimulakan oleh Tom Raja Farah, diiringi Kombo dan Artis Budaya DBKL, sebelum pentas digegarkan oleh SEARCH ‘Kiddin’ dan SPIDER dalam satu malam penuh nostalgia dan irama rock yang meletup. Acara ini akan dihoskan oleh Nadia Hasnan.

Penampilan dua kumpulan legenda ini dijangka menjadi tarikan utama memandangkan mereka sering menerima sambutan luar biasa dan mencatatkan rekod habis terjual bagi setiap persembahan berbayar. Oleh itu, peluang menyaksikan persembahan secara percuma ini merupakan penghargaan istimewa DBKL kepada warga kota dan pengunjung Kuala Lumpur sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan peringkat Kuala Lumpur serta Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026). Acara ini juga menyokong usaha memperkukuh imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan budaya yang dinamik dan berdaya saing.

Bagi memeriahkan suasana, jualan makanan dan minuman akan bermula seawal jam 5.00 petang, dan pengunjung digalakkan hadir lebih awal untuk menikmati suasana santai serta mendapatkan tempat duduk yang lebih baik. Sebagai salah satu fasiliti persembahan dalam jajaran Warisan Kuala Lumpur, Panggung Anniversari memiliki nilai sejarah yang tinggi sebagai ruang rehlah seni dan titik pertemuan budaya masyarakat bandar. Menyedari kepentingan legasi ini, DBKL telah merangka 40 acara pelbagai genre yang akan dilaksanakan hampir setiap minggu sepanjang tahun 2026, bermula awal Januari, bagi memastikan panggung ini berfungsi secara aktif dan berterusan.

Program-program ini direka secara inklusif, melibatkan penggiat seni lama dan baharu, dengan tujuan meneruskan legasi Panggung Anniversari sebagai pentas seni ikonik negara, menyediakan platform merentas generasi dan genre, serta menyokong agenda pemuliharaan warisan bandar melalui inisiatif Warisan KL. DBKL turut mengalu-alukan kerjasama agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, NGO, sektor korporat, serta komuniti seni bagi menjayakan program-program sepanjang tahun di Panggung Anniversari.

Semarak Seni @ Panggung Anniversari dianjurkan oleh DBKL melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS), dengan sokongan kewangan daripada Kementerian Kewangan Malaysia, selaras dengan usaha pemuliharaan dan pengaktifan lokasi di bawah inisiatif Warisan Kuala Lumpur. Melalui inisiatif ini, Panggung Anniversari dijangka kembali berfungsi sebagai nadi seni dan budaya kota serta ruang hidup yang terus mencipta kenangan dan membina sejarah baharu untuk generasi akan datang.

Panggung Anniversari — dulu, kini, dan selamanya.