LAGU PERNAHKAH OLEH AMIR JAHARI DAN LYDBIE

Pernahkah, ciptaan sepenuhnya oleh Amir Jahari dan nyanyian oleh Amir Jahari dan Lydbie merupakan taruhan pertama daripada 10 lagu yang terkandung dalam album Joget : Made In Malaysia.

Album Joget : Made in Malaysia adalah sebuah projek terbitan Luncai Emas Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerusi Dana Kandungan Digital. Ia adalah sebuah projek yang mengangkat irama joget ke dalam karya-karya terbaru generasi muda.

Selain itu, objektif penerbitan album ini adalah untuk memperbanyakkan lagi lagu-lagu joget melayu kepada versi yang lebih kontemporari, inovatif, dinamik dan menjadi sebahagian proses rejuvenasi muzik Malaysia. Album ini menggabungkan kepakaran penggiat seni professional, pensyarah dan pelajar muzik dan seni dari empat institusi pengajian tinggi awam iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bersama artis-artis baru pelapis masa hadapan seperti Luca Sickta, Kmy Kmo dan Putri Khareeza.

“Menjadi cita-cita saya agar irama tradisi Malaysia menjadi sebagai “force” dalam penciptaan muzik moden Malaysia. Maka dengan melihat kerancakan populariti muzik “dance” dan “world beat” saya terpanggil untuk menjadikan rentak tradisi Malaysia sebagai taruhan kerana elemen “dance” yang ada pada semua rentak tradisi ini. Joget dipilih untuk taruhan pertama” kata Dato M.Nasir di sidang media album Joget : Made In Malaysia di World Trade Center (WTC) pada bulan Oktober yang lalu.

Amir Jahari yang asalnya dari Sarawak, cukup terkenal kerana pencapaiannya sebagai seorang artis, pencipta, dan pemuzik yang membawakan muzik bergabung dengan bunyi-bunyian etnik, folk dan pop, kali ini berpadu suara dengan Lydbie, penyanyi muda juga dari Sarawak. Genre muziknya adalah jazz dan r&b. Lydbie telah berkecimpung dalam dunia muzik sejak umur 10 tahun.

Menurut Amir Jahari, “Lagu Pernahkah ini karya baru saya pada tahun 2022, saya tulis di hadapan Masjid Jamek, Kuching Sarawak, mengisahkan kesedaran terhadap “mental illness” seperti kemurungan dan “anxiety”. Ramai yang terkesan setelah pandemik Covid-19, bukan sahaja kewangan rakyat Malaysia terjejas, keberadaan mentalnya juga.”

“Lagu dan lirik ini saya cipta untuk kita sedar adanya penyakit mental yang tersembunyi dan supaya kita sentiasa bertanya khabar pada sesiapa yang kita kenali, kerana kita takkan tahu tahap keberadaan mental mereka kecuali kita tanya. Saya harap lagu ini dapat sedikit sebanyak memberi semangat kepada mereka yang mengalami masalah ini” kata Amir lagi.

‘’Sebaik sahaja diberitahu abang Amir , saya berasa teruja dengan projek ini . Saya pun cuba mengisi lagu tersebut dengan apa yang saya fahami dimana lagu ini bercerita mengenai jenis – jenis perasaan manusia yang berada di titik hidup yang terendah. Because sometimes, small things we do or say can give a big impact to others.Video muzik ini dirakam dalam tempoh masa yang singkat dan dijalankan di Sarikei kerana Lydbie tinggal di sana. Untuk saya, pengalaman berlakon agak kurang dan kekok tapi tak salah mencuba, jadi saya lakukan sebaik yang mungkin. Semoga lagu dan music video ini dapat memberi sedikit ‘’ comfort feeling’’ kepada pendengar’’. Jelas kata – kata dari Lydbie.

“Saya juga amat berterima kasih kepada Luncai Emas, kerana memberi Amir dan Lydbie peluang untuk menghasilkan projek ini bersama, kepada produksi muzik yang dikelola oleh Abdul Karim, serta produksi video yang dikelola oleh Sazel Sapihan. Terima kasih atas segala usaha menjayakan projek ini menjadi kenyataan.” Kata Amir di akhir perbualan.

Menurut Dr. Raja Iskandar dari Universiti Malaysia Kelantan selaku penasihat seni warisan album Joget: Made in Malaysia,Gabungan nyanyian pasangan ini membawa melodi dan citarasa remaja kontemporari yang mudah dihayati dan berlatarkan gubahan irama joget yang ringkas dan bersahaja.”

Luncai Emas berharap usaha album joget ini akan mendapat sokongan semua golongan peminat tua dan muda dan daripada radio, televisyen, media cetak dan elektronik.

Lagu Pernahkah berpotensi menjadi lagu yang diminati oleh semua golongan dan boleh didengari di semua platform streaming seperti Spotify, Apple Music, Joox, iTunes dan video muziknya juga boleh dilihat di saluran Youtube Luncai Emas tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *