KUALA LUMPUR LOCKDOWN 23–28 OKTOBER: 20,000 ANGGOTA KESELAMATAN DIGERAKKAN, JALAN KLCC & PUTRAJAYA DITUTUP

Bermula 23 Oktober hingga 28 Oktober 2025, Kuala Lumpur bakal menyaksikan sekatan trafik besar-besaran berikutan penganjuran Persidangan Pemimpin ASEAN dan Rakan Dialog Antarabangsa. Antara negara yang dijangka hadir termasuk Amerika Syarikat, China, Afrika Selatan, dan Finland, selain lebih 12,000 delegasi rasmi yang akan turut serta sepanjang minggu persidangan tersebut.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, lebih 20,000 anggota keselamatan dari seluruh negara akan dikerah bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan di sekitar kawasan persidangan, khususnya di KLCC, Putrajaya dan Golden Triangle Kuala Lumpur.

Pihak Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLC3) memaklumkan bahawa beberapa laluan utama akan mengalami total lockdown sepanjang tempoh persidangan. Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Binjai, Persiaran KLCC, Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Kuching dan Jalan Perak.

Selain itu, beberapa persimpangan strategik juga akan ditutup sementara, termasuk Jalan Ampang–Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan Pinang, Jalan Stonor–Jalan Kia Peng dan Jalan Stonor–Persiaran KLCC.

Lebuhraya utama seperti Maju Expressway (MEX), North-South Expressway (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta, Elite Expressway (KLIA–Putrajaya), New Klang Valley Expressway (NKVE) dari Subang ke Jalan Duta, Guthrie Corridor Expressway (GCE) serta KL–Seremban Expressway (Sungai Besi–City Centre) turut dijangka mengalami penutupan sementara secara berperingkat. Laluan menuju ke KLIA, Putrajaya Ringroad dan Subang juga akan dikawal ketat dari masa ke semasa.

Sebagai langkah persediaan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memaklumkan bahawa semua kakitangan awam yang tinggal dalam radius 25 kilometer dari kawasan terlibat dibenarkan untuk bekerja dari rumah (Work From Home) sepanjang tempoh sekatan. Orang ramai pula dinasihatkan untuk mengelakkan perjalanan ke kawasan yang terjejas, kecuali bagi urusan penting.

Kementerian turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan lebih awal, menggunakan pengangkutan awam, serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang minggu penting ini.