TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

KPN Peruntukkan RM100,000 Naik Taraf Kemudahan SMK Putra Kangar

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperuntukkan sejumlah RM100,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Kangar di bawah inisiatif Program Sekolah Angkat MADANI bagi tahun 2026. Peruntukan ini bertujuan melaksanakan pelbagai projek penyelenggaraan dan baik pulih demi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat serta kondusif buat kira-kira 1,000 orang pelajar di sekolah berkenaan.

Majlis Penyerahan Projek Sekolah Angkat tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPN, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid dalam satu acara rasmi di sekolah berkenaan hari ini. Melalui dana yang disalurkan, pelbagai kerja naik taraf infrastruktur fizikal telah berjaya disiapkan sepenuhnya bagi menangani isu kerosakan kemudahan asas. Antara projek utama yang dilaksanakan termasuklah penggantian bumbung laluan pejalan kaki, pembaikan makmal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kerja-kerja baik pulih tandas serta penggantian cermin dan pintu tandas yang rosak.

Selain memberi tumpuan kepada kemudahan asas, KPN turut meningkatkan fasiliti sukan dan riadah sekolah melalui pembekalan kelengkapan peralatan gimnasium serta pewujudan Taman Sekolah Angkat MADANI. Langkah ini dilihat mampu menyokong gaya hidup sihat dan menceriakan lagi kawasan persekitaran sekolah.

Walau bagaimanapun, fokus Program Sekolah Angkat MADANI di SMK Putra tidak terhad kepada pembangunan fizikal semata-mata. Peruntukan ini turut dimanfaatkan untuk memperkasa pembangunan modal insan melibatkan warga pendidik dan pelajar. Antara pengisian program yang dijalankan ialah Kem Munajat khusus untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), di samping program Latihan dan Pembangunan bagi meningkatkan tahap kompetensi para guru.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Haslina menzahirkan harapan agar seluruh warga SMK Putra dapat memanfaatkan serta menjaga segala kemudahan yang telah disediakan dengan penuh rasa tanggungjawab. Beliau menegaskan bahawa prasarana yang selesa seharusnya menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha melakar kecemerlangan dalam bidang akademik, di samping membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Secara keseluruhannya, Program Sekolah Angkat MADANI merupakan manifestasi komitmen strategik Kerajaan dalam memastikan pembangunan pendidikan negara bergerak secara holistik, merangkumi keseimbangan antara kecemerlangan intelek dan penyediaan infrastruktur sekolah yang berkualiti tinggi.