Peminat muzik rock tanah air bakal disajikan dengan konsert yang pasti mencuri tumpuan apabila dua kumpulan legenda, Cromok dan Amuk, bakal beraksi di atas satu pentas. Konsert Kasi Gegar! ini akan berlangsung pada Sabtu, 26 April 2025, di N9 Arena Nilai, Negeri Sembilan. Acara ini bukan sahaja akan menjadi sejarah dalam industri muzik Malaysia tetapi juga menggabungkan dua band gergasi yang telah lama meninggalkan kesan dalam hati peminat mereka.
Cromok, yang ditubuhkan pada 1987, terkenal sebagai perintis muzik thrash metal di Malaysia. Sementara itu, Amuk yang muncul pada 1998 turut membawa gelombang rock + metal yang penuh dengan tenaga dan kemarahan. Kedua-dua kumpulan ini memiliki legasi yang kuat dan mempunyai katalog lagu-lagu popular yang terus kekal digemari.

Menurut Pengarah Eksekutif YNS Event Management, Encik Mohd Agmeer Hj Farouke, konsert ini adalah pertama kali Cromok dan Amuk digandingkan bersama dalam satu pentas besar. N9 Arena Nilai yang telah dinaik taraf sebagai tempat untuk konsert besar turut menjadi pilihan untuk acara bersejarah ini. “N9 Arena, Nilai adalah venue yang menawarkan pelbagai kemudahan dan akan menjadi lokasi yang sempurna untuk acara besar seperti ini,” ujar beliau.
Perancang konsert, Bandi dari Amuk, berkata bahawa idea untuk menggabungkan kedua-dua kumpulan ini sudah lama terlintas di fikirannya. Peminat juga telah lama menantikan peluang untuk menyaksikan kerjasama antara Amuk dan Cromok. “Sejak dahulu lagi, peminat sentiasa bertanya bila kami akan bergabung. Jadi, apabila YNS Event Management menghubungi kami untuk membuat konsert, saya cadangkan untuk menggandingkan kedua-duanya. Mereka bersetuju kerana ini adalah peluang yang sangat dinantikan,” jelas Bandi.
Dalam konsert ini, peminat boleh menjangkakan pelbagai kejutan. Salah satu yang paling menarik adalah lagu penutup di mana Bandi akan menyanyikan versi Melayu dan Sam dari Cromok akan menyanyikan versi Inggeris untuk lagu yang sama, memberikan satu pengalaman unik kepada penonton. “Kami bukan berlawan dengan Cromok, tetapi kami mahu memberikan satu persembahan yang mengagumkan,” tambah Bandi.
N9 Arena Nilai terletak strategik tidak jauh dari Kuala Lumpur, dengan kemudahan tempat letak kereta yang luas dan ruang untuk peminat yang hadir. Tiket untuk konsert ini dijual dengan harga yang berpatutan bermula dari RM118 untuk kategori berdiri hingga RM488 untuk kategori GS. Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang rasmi N9 Arena.
Dengan harga yang berpatutan, konsert ini diharapkan dapat menarik peminat dari pelbagai kawasan termasuk Kuala Lumpur, Johor, dan Melaka. “Kami berharap ramai peminat akan datang kerana harga tiket di sini jauh lebih murah berbanding konsert besar di Kuala Lumpur,” kata Karl @ Anuar, pemain gitar Cromok.

Tiket untuk menyaksikan Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk kini sudah dijual bermula 24 Januari 2025, melalui laman sesawang n9arena.ubertickets.asia. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sejarah konsert rock Malaysia ini!
Harga Tiket:
- RM118 (Cat 1 berdiri)
- RM158 (Cat 3 duduk)
- RM218 (Cat 2 duduk)
- RM248 (VIP duduk)
- RM388 (VVIP duduk)
- RM488 (GS)
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi N9 Arena atau di n9arena.ubertickets.asia.