Konsert Jiwa Kacau 2025: Pertempuran Akhir Rock Legenda & Generasi Baru

Sejarah terus tercipta dan rekod demi rekod telah dilakar, namun MND Sport & Event Sdn Bhd yang mengangkat jenama Jiwa Kacau masih belum mahu berhenti dalam menghadirkan hiburan berkualiti tinggi. Komitmen mereka terhadap dunia muzik tidak pernah luntur, seiring dengan sokongan padu peminat sejak hari pertama.

Bersiap sedialah untuk Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game, sebuah pesta muzik gilang-gemilang yang bakal menggegarkan peminat dengan kehebatan kugiran legenda serta generasi baharu. Dijadualkan berlangsung pada 28 Jun 2025 di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, konsert ini menjanjikan pengalaman luar biasa yang pasti tidak mahu dilepaskan oleh para peminat.

Meneruskan legasi siri Jiwa Kacau, Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game menampilkan barisan pemuzik dan kugiran yang telah mencipta nama dalam industri, meninggalkan jejak dalam jiwa pendengar, serta menjadi siulan sepanjang zaman. Dengan reputasi yang tidak perlu diragui, setiap persembahan akan menjadi bukti bahawa muzik tidak mengenal batas generasi.

Sorakan terima kasih kepada MND Sport & Event Sdn Bhd atas usaha mereka dalam menyatukan nama-nama hebat untuk edisi kali ini. Spider, kugiran legenda Malaysia, bakal membuat kemunculan istimewa buat pertama kali dalam konsert ini. Tidak ketinggalan, dua kumpulan dengan pengaruh luar biasa dalam dunia muzik alternatif tanah air, Hujan dan Bunkface, turut mempersembahkan aksi bertenaga mereka. Dari Indonesia, Kerispatih, The Lantis & A Mystery Band bakal diterbangkan khas bagi melengkapkan Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game. Gabungan unik ini dijangka memberikan warna dan dimensi baharu kepada penganjuran kali ini.

Sebagai penganjur, kami sentiasa berusaha menampilkan sesuatu yang lebih hebat dari tahun ke tahun. Setiap edisi Konsert Jiwa Kacau hadir dengan keistimewaan tersendiri, dan bagi tahun 2025, kami sangat teruja untuk membawakan Spider buat kali pertama bersama Hujan dan Bunkface yang sudah lama mencetus fenomena. Tambahan pula, semangat muzik serumpun diteruskan dengan penyertaan Kerispatih, The Lantis & A Mystery Band bagi memenuhi permintaan peminat, ujar Harith Daniel, wakil MND Sport & Event Sdn Bhd.

Sementara itu, bagi Spider, penyertaan dalam Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game membuka lembaran baharu buat mereka untuk berkongsi pentas dengan generasi baharu pemuzik tanah air. Kami tidak sabar bertemu peminat dalam konsert ini. Walaupun ia dinamakan ‘The Final Game’, ini bukanlah pengakhiran. Sebaliknya, ini akan menjadi persembahan paling hebat yang pernah anda saksikan! kata Tam, vokalis Spider.

Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah! Dapatkan tiket anda di www.ilassoticket.com sebelum kehabisan. Tiket dijual dengan kategori berikut: GENERAL ADMISSION – RM98, CAT 1 – RM148, ROCKZONE – RM168, VIP – RM228, dan JK – RM328. Pastikan anda tidak terlepas ‘pertempuran’ ini! Dengan hanya 8,000 tiket yang tersedia, Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game bakal menjadi antara acara muzik paling epik tahun ini!