Sebanyak 20 lagu baharu dari 20 band muzik yang berteraskan genre rock masa kini telah membuktikan betapa semangat memperjuangkan genre muzik rock tetap teguh dalam jiwa setiap anggota band terlibat, seperti MELISSABAND, ROOTS N BOOTS, LEMON T, THE ALIF FT MARIONEXXES, BAHTERA, MEDITASI, SONS OF ADAM, THE VOLTAGE, SENNA, X-TERNAL, ZUBIRA, KOROKODEL, CROSSOVER, BUMANTRA, THE FLOW, XNERGY, BURNTARA, EXIT, SPIT IT OUT TIME, dan MANUSIA.
Fakta menarik mengenai semua karya baharu yang dimuatkan dalam kompilasi album “ROCK NEVER DIES” terbitan FGI Entertainment dan dipromosikan oleh Melissa Record ini telah berada di pasaran sejak awal bulan Jun. Album ini dijual secara langsung oleh setiap band yang terlibat. Hingga kini, album ini telah melebihi sasaran awal cetakan dengan hampir 800 keping CD (beserta pendrive) terjual!
Oleh itu, satu Sidang Media untuk mengumumkan album “ROCK NEVER DIES” telah diadakan pada malam Ahad, 30 Jun 2024. Majlis ini, yang ditaja oleh Restoran Asam Pedas London di Bandar Baru Selayang, turut menyajikan hidangan kepada tetamu. Acara ini menjadi lebih meriah dengan kehadiran vokalis band Wings yang terkenal, Dato Awie, sebagai perasmi majlis, selain kehadiran wakil pemimpin DUN Taman Templer Selayang yang sentiasa menyokong perkembangan seni hiburan secara sihat dalam kalangan masyarakatnya.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato Awie menzahirkan rasa terharu kerana dapat hadir dan menyokong perjuangan muzik “ROCK NEVER DIES”, yang turut disertai oleh mereka yang telah lama berada dalam industri seperti Abg Lord dan lain-lain. Beliau juga bersyukur kerana kehadirannya pada majlis itu seakan merealisasikan impian sahabat lamanya, Ajak Melissa, yang tidak pernah putus semangat meneruskan perjuangan muzik Melissa Band meskipun sering dilanda pelbagai isu dan kontroversi. Sebelum mengakhiri ucapannya, Dato Awie sempat menitipkan nasihat kepada pelapis baharu supaya sentiasa fokus kepada matlamat dalam bidang muzik dan “kena rajin prektis”.
Majlis malam itu turut disertai semua anggota 20 band terlibat, termasuk dari negara jiran Singapura. Hampir 200 tetamu hadir termasuk jemputan khas dari kalangan pemain media selain pempengaruh media sosial yang sinonim dalam perjuangan muzik rock tanah air.
Di majlis yang sama itu juga, turut diumumkan KONSERT ‘ROCK NEVERDIES’ bakal diadakan pada 10 Ogos 2024 bertempat di WARISAN HALL STUDIO. Tiket dijual pada harga RM50 setiap satu. Tempahan tiket sudah boleh dibuat menerusi band- band yang bakal beraksi di pentas konsert hari berkenaan.