UOA Academy meneruskan komitmennya dalam memperkasa komuniti melalui pendidikan TVET dengan menjalin kerjasama strategik bersama 14 pemain utama industri hospitaliti dalam satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di ASTANA, Bamboo Hills, semalam.
Antara rakan kolaborasi termasuk Concorde Hotel Shah Alam, The Boathouse Pulau Tioman, The Lakehouse Cameron Highlands, PULSE Group, PARKROYAL COLLECTION, Pan Pacific Serviced Suites Kuala Lumpur, VE Hotel & Residences, Komune Living, Botanica+Co dan CCEC.
Program TVET Hospitaliti UOA Academy menawarkan latihan praktikal berasaskan industri khas untuk golongan asnaf, B40, komuniti Orang Asli dan individu menganggur. Peserta akan dibimbing secara langsung oleh pakar industri yang aktif, sekaligus menonjolkan model pengajaran “dari industri untuk industri” satu pendekatan unik yang membezakan UOA Academy daripada institusi lain.
Silibus yang dirangka turut mematuhi Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) serta dilengkapi modul tambahan seperti Bahasa Inggeris dan Matematik Perniagaan bagi memperkukuh komunikasi dan kemahiran asas kerja.

Firdaus (kanan) dan Hadafy mewakili Putrajaya Leisures & Services Group (PULSE Group) semasa sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)
“Inisiatif ini bukan hanya mempersiapkan peserta dengan kemahiran teknikal, tetapi juga membuka peluang kerjaya yang bermakna bagi membina masa depan lebih cerah,” kata Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan UOA, Haikal Akmar.
Dengan jaminan penempatan latihan industri dan potensi diserap ke dalam pasaran kerja, program ini membuka ruang kepada kehidupan yang lebih stabil dan bermaruah. Permohonan bagi pengambilan Julai 2025 kini dibuka kepada mereka yang berminat untuk menceburi sektor hospitaliti. – Tehtariktimes