
Kee Ming Group Berhad meneruskan momentum pertumbuhan positif apabila mencatat prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi TK2026, dipacu peningkatan aktiviti projek dan pengukuhan kedudukan pasaran selepas penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia. Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM151.49 juta, meningkat 142.7% berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai bertambah 112.6% kepada RM23.25 juta.
Dalam suku keempat TK2026 sahaja, Kee Ming mencatat pendapatan RM41.85 juta dengan keuntungan kasar RM14.62 juta. Walaupun hasil suku tahunan menurun berbanding suku sebelumnya, syarikat berjaya meningkatkan margin keuntungan hasil sumbangan projek industri yang lebih tinggi serta strategi pengurusan kos yang efektif.
Menurut Ir. Liew Kar Hoe, peningkatan prestasi tersebut membuktikan keupayaan Kee Ming untuk terus berkembang dalam segmen kejuruteraan M&E, termasuk projek berkaitan infrastruktur, tenaga bersih dan pembangunan perindustrian.
Beliau berkata, prospek industri kekal positif susulan peningkatan pelaburan dalam pusat data, pembangunan infrastruktur dan peralihan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. Dengan buku pesanan semasa bernilai RM151.9 juta, Kee Ming dijangka terus berada pada landasan kukuh untuk mengekalkan pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan.









