Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai 2026 di Kota Samarahan mencatat sambutan luar biasa apabila lebih 300,000 pengunjung membanjiri tapak acara sepanjang tiga hari penganjurannya.
Kehadiran tersebut membuktikan acara padang terbesar negara itu terus mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat Bumi Kenyalang dengan gabungan hiburan, aktiviti keluarga, gaya hidup dan penglibatan komuniti.
Penganjuran kali ini turut melakar sejarah apabila KJH menjadi penganjur pertama yang merasmikan tapak acara baharu di Pekarangan Sebelah Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

Kejayaan penganjuran sulung di lokasi tersebut bukan sahaja menyerlahkan semangat Segulai Sejalai dalam kalangan masyarakat setempat, malah membuka potensi untuk KJH kembali ke Kota Samarahan pada masa hadapan.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) atas kerjasama dalam memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang karnival berlangsung.
Antara acara yang mendapat perhatian ialah Jom Heboh Fun Run yang berjaya menghimpunkan hampir 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia dan keluarga.
Larian tersebut tampil dengan pengalaman baharu apabila peserta buat pertama kalinya menerima medal finisher eksklusif, selain jersi rasmi, tote bag, bib eksklusif dan pelbagai goodies menarik.
Tahun ini, Jom Heboh Fun Run menawarkan dua kategori iaitu 5KM dan 8KM. Pakej Keluarga turut diperkenalkan untuk kategori 5KM dengan kadar istimewa bagi penyertaan empat orang dalam satu pendaftaran.
Peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah serta memeriahkan acara bersama personaliti Media Prima dan selebriti termasuk Aepul Roza, Zairi Aziz dan Ariana Yusof.
Reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS) turut menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung menerusi pelbagai aktiviti interaktif termasuk Karaoke Challenge dan pertandingan mewarna untuk kanak kanak.
Pengunjung turut berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan selebriti popular seperti Ariana Yusof, Cristina Suzanne, Chacha Maembong, Cahaya Nilam, Irfan Zaini, Nasuha Sulaiman dan Zairi Aziz sepanjang karnival berlangsung.
Lebih 60 reruai daripada pelbagai jenama dan agensi turut mengambil bahagian dengan menawarkan aktiviti interaktif, promosi eksklusif dan pelbagai tawaran kepada pengunjung. Dunia Kreatif NSTP serta zon gaya hidup yang menampilkan pilihan makanan viral dan tempatan turut menjadi antara tarikan sepanjang acara.
Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua malam berturut turut menjadi antara kemuncak utama karnival apabila ribuan peminat memenuhi kawasan konsert.
Malam Sabtu menyaksikan persembahan daripada Haiza Hanafi, Mariam Saim, Aepul Roza, Fiq Halim, Aweera dan Kristal X. Kemeriahan diteruskan pada malam Ahad menerusi persembahan Baby Shima, Wany Hasrita, K.O.I, Syamel dan Marsha Milan.
Selepas sambutan memberangsangkan di Kota Samarahan, jelajah Karnival Jom Heboh Sarawak bakal diteruskan ke Miri pada penghujung September 2026.
Kejayaan KJH Sarawak Segulai Sejalai 2026 di Kota Samarahan memperlihatkan kemampuan acara tersebut menyatukan masyarakat menerusi hiburan, aktiviti gaya hidup sihat dan program kemasyarakatan dalam satu platform keluarga.
Orang ramai boleh menggunakan tanda pagar rasmi #JomHeboh, #KarnivalJomHeboh dan #KJHSarawak untuk berkongsi detik sepanjang acara serta mengikuti @jomhebohofficial di media sosial bagi mendapatkan perkembangan terkini.










