HLB Lancar Kempen Raya Bersama Alif Satar: ‘Senyum-Senyum Raya’

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (“HLB” atau “Bank”) memperkenalkan kempen istimewa bertemakan ‘Amalan’, yang menekankan nilai-nilai murni seperti pengurusan kewangan bijak sebagai asas kepada kesyukuran dan kegembiraan.

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, HLB melancarkan lagu dan video muzik Raya berjudul ‘Senyum-Senyum Raya’, menampilkan duta HLB, Alif Satar. Lagu yang dihasilkan oleh Yusuff Khan, Adam Armin, Adly Kiddy, dan Ja’a, serta dinyanyikan oleh Alif Satar & The Locos ini membawa mesej kesyukuran dan kegembiraan yang segar dan penuh semangat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam, menegaskan komitmen Bank dalam menyediakan solusi kewangan pintar untuk membantu pelanggan mengurus kewangan dengan lebih baik.

“Kami bertekad untuk memperluas penawaran penyelesaian kewangan yang diperibadikan kepada lebih ramai pelanggan. Hong Leong Islamic Bank juga memainkan peranan penting dengan menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan yang patuh Syariah, bagi memenuhi keperluan unik pelanggan kami. Usaha ini bertujuan meringankan beban kewangan pelanggan sambil membantu mereka menguruskan kewangan secara bertanggungjawab.”

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal, turut menambah bahawa lagu dan video muzik Raya ini adalah sesuatu yang segar dan unik daripada HLB.

“Kempen tahun ini menonjolkan konsep ‘amalan’ sebagai sumber kepada senyuman dan kesyukuran, terutamanya pada musim Raya. Aidilfitri adalah masa untuk meraikan kejayaan dan hasil usaha, dan kami berharap kempen ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkan pengurusan kewangan yang mampan demi menikmati hasilnya dalam jangka masa panjang.”

Alif Satar, yang telah menjadi duta HLB selama tiga tahun, turut berkongsi keterujaannya.

“Saya sangat berbesar hati dapat terlibat dalam projek ini. Sebagai seseorang yang menghargai nilai kekeluargaan, saya rasa lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga menyampaikan mesej positif. Sebaik saja saya mendengar demo lagu ini, saya terus merasakan aura positif dan keceriaan yang seiring dengan semangat Raya,” kata Alif.

Dalam semangat memupuk amalan baik, HLB turut bekerjasama dengan foodpanda untuk menjalankan program pengagihan makanan kepada penghantar foodpanda. Sebanyak 1,000 penghantar menerima makanan, dan HLB juga menaja jamuan berbuka puasa untuk lebih 300 penghantar di Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Perak.

Selain itu, HLB aktif menjalankan kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), di mana kakitangan HLB menyumbangkan pek makanan dan menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan rumah kebajikan di seluruh negara. Baru-baru ini, sumbangan kakitangan HLB telah melebihi RM100,000 dalam bentuk pek makanan dan keperluan harian untuk rumah-rumah kebajikan.

Lagu ‘Senyum-Senyum Raya’ dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac 2025 di semua platform muzik digital, manakala video muzik rasmi pula ditayangkan pada 17 Mac 2025 menerusi saluran YouTube Hong Leong Bank.