Heritage Fashion Week 2026 Tampil Berbeza Menerusi Festival Showcase Kebaya Selangor dan Kelingkan

Heritage Fashion Week 2026 kembali dengan pembaharuan yang lebih bermakna apabila ASFARENA memperkenalkan Festival Showcase Kebaya Selangor dan Kelingkan sebagai tema utama penganjuran tahun ini. Inisiatif tersebut bukan sekadar meraikan keindahan busana tradisional, malah menjadi platform memperkukuhkan usaha memelihara serta memperkenalkan warisan budaya tempatan kepada masyarakat.

Sejak diperkenalkan empat tahun lalu, Heritage Fashion Week lahir daripada keyakinan bahawa warisan budaya tidak seharusnya sekadar dikenang, sebaliknya perlu terus dipelihara, dipamerkan dan disesuaikan dengan perkembangan semasa. Berbekalkan visi tersebut, ASFARENA terus komited mengangkat fesyen warisan serantau melalui gabungan elemen tradisi dan sentuhan kontemporari tanpa mengabaikan nilai asal yang menjadi identiti budaya.

Dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menerusi Karyaneka sebagai rakan strategik, pelbagai usaha dilaksanakan dalam aspek pembangunan reka bentuk, penghasilan produk serta pemasaran bagi memastikan tekstil tradisional negara kekal relevan di peringkat nasional dan antarabangsa. Kerjasama ini turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat proses penghasilan seni kraftangan tempatan serta menghargai nilai di sebalik setiap hasil tangan.

Festival Showcase Kebaya Selangor dan Kelingkan turut mengetengahkan keunikan Kebaya Selangor yang terkenal dengan potongan labuh dan longgar, rekaan sopan serta dihiasi sulaman halus, tekad emas dan kerawang yang menjadi lambang keanggunan wanita Melayu Selangor. Busana ini lazimnya dipadankan bersama kain batik Selangor, telepok atau songket, sekali gus memperlihatkan pengaruh budaya Bugis, Jawa dan Melayu Selangor yang membentuk identiti tersendiri.

Selain itu, seni Kelingkan turut diberi perhatian sebagai antara warisan tekstil Melayu yang bernilai tinggi. Teknik sulaman menggunakan benang logam emas atau perak pada kain halus seperti baldu dan sutera menghasilkan corak yang memancarkan kilauan elegan serta melambangkan kemewahan. Seni jahitan yang memerlukan ketelitian tinggi ini terus dipelihara sebagai khazanah warisan yang wajar diwariskan kepada generasi akan datang.

Melalui penganjuran Heritage Fashion Week 2026, ASFARENA berharap usaha memperkasakan seni budaya pemakaian tradisional dapat diteruskan secara konsisten setiap tahun, sekali gus memastikan warisan negara terus hidup dan dihargai dalam landskap fesyen moden.