Kerjasama Strategik Herbalife dan UTAR Perkukuh Bidang Pemakanan
Menyedari kepentingan pendedahan dunia sebenar bagi melengkapi teori di dewan kuliah, syarikat kesihatan dan kesejahteraan terulung, Herbalife, terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menerusi penganjuran siri sesi perkongsian ilmu dan bengkel di kampus. Inisiatif yang menghimpunkan pelajar Fakulti Sains UTAR serta komuniti dan pengedar Herbalife ini bertujuan meneroka aplikasi ilmu saintifik dalam persekitaran profesional, merangkumi aspek pemakanan sukan, pengurusan berat badan berasaskan bukti, serta etika kerja dalam industri kesejahteraan.

Sesi Perkongsian Pakar Antarabangsa Herbalife Bersama Pelajar UTAR
Menurut Pengurus Besar dan Pengarah Herbalife Malaysia dan Singapura, Lin Wee, pendedahan industri secara langsung daripada pakar amat kritikal dalam mempersiapkan graduan membina kerjaya yang bertanggungjawab dalam sektor pemakanan yang kian berkembang. Pandangan ini turut disokong oleh Dekan Fakulti Sains UTAR, Dr. Lim Tuck Meng, yang menegaskan bahawa penyelidikan sains pemakanan universiti tersebut terutamanya dalam menangani cabaran kesihatan awam seperti obesiti dan penyakit kardiometabolik perlu dibawa melangkaui ruang akademik bagi mencetuskan kesedaran masyarakat yang lebih meluas.
Program ini menampilkan dua sesi utama bersama pakar antarabangsa Herbalife. Sesi pertama yang dikendalikan oleh Pengarah Prestasi Sukan dan Pendidikan Pemakanan Herbalife, Dr. Krissy Ladner, mengupas topik pemakanan sukan serta konsep keberkalaan nutrien (nutrient periodization) bagi menyokong prestasi dan pemulihan atlet. Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Saintifik Herbalife, Dr. Simon Sum, membincangkan landskap terkini pengurusan obesiti di Malaysia menerusi pendekatan berasaskan bukti, termasuk pengubahsuaian diet, strategi penggantian makanan, serta peranan terapi moden seperti glucagon-like peptide-1 (GLP-1).
Bengkel Amalan Beretika Herbalife di Kampus Kampar dan Sungai Long
Sebagai pelengkap, Bengkel Amalan Profesional dan Beretika turut dianjurkan khas oleh UTAR di kampus Kampar dan Sungai Long untuk pengedar Herbalife. Bengkel yang dikendalikan oleh ahli fakulti dan pakar jemputan ini memberi penekanan terhadap pemahaman Akta Profesional Kesihatan Bersekutu, batas skop amalan antara pengedar dengan pakar diet bertauliah, serta pematuhan Kod Tatalaku Herbalife demi menjamin perlindungan pengguna. Secara keseluruhannya, kolaborasi ini meneruskan rekod cemerlang Herbalife yang telah menyantuni lebih 5,000 pelajar dan profesional muda menerusi rangkaian kerjasama dengan institusi tempatan seperti UiTM, UPM, Institut Sukan Negara, dan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).















