Berteraskan lebih dua dekad komitmen dalam meningkatkan aspek pemakanan, penjagaan dan kesejahteraan kanak-kanak serta keluarga kurang berkemampuan, Herbalife menerusi pertubuhan bukan berasaskan keuntungan antarabangsanya, Herbalife Family Foundation (HFF), terus memperluaskan inisiatif Casa Herbalife di Malaysia bagi membantu lebih banyak komuniti yang memerlukan sokongan berterusan.
Sejak diperkenalkan pada 2006, Casa Herbalife menjadi antara tonggak usaha komuniti Herbalife di Malaysia dengan menyokong rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh negara. Melalui kerjasama erat bersama pertubuhan bukan berasaskan keuntungan tempatan, hampir RM5 juta telah disalurkan dalam bentuk pembiayaan, sekali gus memberi impak positif kepada lebih 2,500 kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang.
Bagi tempoh 2025/2026, HFF menyalurkan kira-kira RM700,000 dalam bentuk geran kepada lima rakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di Malaysia untuk menyokong keperluan asas seperti makanan harian, barangan dapur, program kebajikan serta penambahbaikan kemudahan tempat tinggal secara terancang. Usaha ini bertujuan memastikan kanak-kanak terus membesar dalam persekitaran yang selamat dan kondusif untuk perkembangan menyeluruh mereka. Antara penerima geran ialah Amitabha Foundation, Good Samaritan Home, Hope Mission Welfare Society, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim (Miskin Rukaiyah) dan Yayasan Chow Kit. Penyampaian geran tersebut telah disempurnakan dalam satu majlis penyerahan cek replika sempena acara tahunan utama Herbalife, Spectacular, yang berlangsung di Setia City Convention Centre.


Menurut Steven Chin, Pengarah Kanan dan Pengurus Besar Herbalife Malaysia dan Singapura, pihaknya percaya setiap individu berhak mendapat peluang untuk berkembang maju dan membina masa depan yang lebih baik. Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap komuniti pengedar dan para pekerja yang saban tahun berganding bahu bagi merealisasikan aspirasi tersebut serta mewujudkan impak berkekalan dalam komuniti di seluruh dunia.
Selain penyaluran geran, pekerja dan pengedar Herbalife turut menyumbang secara langsung melalui penglibatan sukarelawan yang konsisten. Baru-baru ini, mereka bekerjasama dengan Yayasan Chow Kit dalam satu program amal yang memberi manfaat kepada 24 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 18 tahun dengan menyediakan keperluan asas serta meluangkan masa bersama mereka sebagai tanda sokongan dan galakan.
Sejak penubuhannya pada 1994, Herbalife Family Foundation telah menyumbang lebih RM240 juta kepada rakan pertubuhan bukan untung di seluruh dunia bagi menyokong pelbagai program yang membantu kanak-kanak berkembang maju dan memperkasa komuniti secara mampan. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Herbalife Family Foundation.