Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) terus memperkukuh usaha memartabatkan budaya dan warisan serantau dengan penganjuran Program Citra Nusa@Muzium: ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025 yang berlangsung penuh warna-warni hari ini. Majlis perasmian festival berprestij itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami.
Festival yang diadakan ini bertepatan dengan tema KPN bagi tahun 2025, iaitu “Harmoni Dalam Kepelbagaian”, yang menekankan pentingnya perpaduan melalui penghargaan terhadap adat, seni dan budaya masyarakat berbilang kaum. Program ini membuka ruang kepada pengunjung untuk menyaksikan keunikan tradisi, persembahan seni serta warisan masyarakat Orang Asli dan pribumi dari seluruh negara ASEAN yang dibawakan secara langsung di muzium.
Dalam ucapannya, YB Senator Puan Saraswathy menekankan bahawa muzium bukan sahaja berperanan sebagai tempat penyimpanan artifak bersejarah, malah menjadi institusi penting dalam memperkasakan naratif kepelbagaian warisan negara. Beliau menambah bahawa usaha ini mampu menyuburkan penghayatan masyarakat terhadap sejarah, budaya dan alam semula jadi yang menjadi identiti nasional serta kebanggaan bersama.

Beliau turut menyeru agar Muzium Adat di Negeri Sembilan terus diperkasakan sebagai pusat rujukan utama dalam mempromosikan adat serta budaya etnik di Malaysia. Menurutnya, Muzium Adat berupaya memperkaya kefahaman masyarakat mengenai nilai budaya sekaligus memainkan peranan penting dalam menyemai semangat perpaduan berasaskan rasa hormat dan penerimaan terhadap kepelbagaian yang menjadi teras keharmonian negara.
Festival kali ini turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti yang mampu menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat. Antara acara yang menjadi tumpuan termasuk persembahan kebudayaan dari negara-negara ASEAN, pertandingan menyumpit, permainan tradisional kerchang, kuiz interaktif, pertandingan mewarna kanak-kanak serta cabutan bertuah. Suasana meriah itu bukan sahaja menghiburkan, malah memberi peluang kepada pengunjung mendekati serta menghargai kekayaan budaya rantau ASEAN.
Penganjuran Festival Citra Nusa@Muzium 2025 sekali lagi membuktikan komitmen Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Muzium Malaysia dalam memastikan warisan budaya dipelihara, dipromosikan dan diwariskan kepada generasi akan datang sebagai asas kepada identiti nasional dan penyatuan rakyat.