Festival Warisan Selera Selatan 2026 Kembali Gegarkan Bangi, Hampir 200 Sajian Tradisi Tiga Negeri

Festival Warisan Selera kembali menemui pencinta makanan tradisional menerusi penganjuran Festival Warisan Selera Selatan 2026 (FWSS 2026) selepas kejayaan Festival Warisan Selera Timur tahun lalu yang berjaya menarik lebih 12,000 pengunjung.

Bertemakan “Rasa Asli Menu Tradisi, Kini Di Bangi Lagi”, festival ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Jun 2026 di Evo Mall, Bandar Baru Bangi dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Edisi kali ini tampil dengan skala lebih besar dan menyasarkan kehadiran melebihi 15,000 pengunjung.

Dianjurkan oleh Evo Mall dan diuruskan oleh A.M.A Infinity Solution, festival ini turut mendapat sokongan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, MPKj, TEKUN Nasional serta Persatuan Penduduk Bangiku bagi memperkukuh promosi pelancongan domestik, memperkasakan komuniti serta memelihara warisan kulinari negara.

Lebih 25 vendor makanan dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bakal menghimpunkan hampir 200 menu tradisi termasuk Mee Rebus Haji Wahid, Induk Salai, Dodol Melaka, Nasi Ambeng, Asam Pedas Melaka, Masak Lemak Cili Api, Lemang Periuk Kera, Rendang Maman Warisan, Apam Johol serta pelbagai kuih-muih tradisional.

Selain menikmati pelbagai hidangan autentik, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti demonstrasi masakan, pertandingan memasak, pertandingan busana tradisional, pertandingan mewarna keluarga, persembahan Zapin dan Kuda Kepang, kuiz warisan, sesi perkongsian bersama tokoh jemputan, cabutan bertuah serta menikmati 200 hidangan warisan secara percuma.

Festival ini juga akan dimeriahkan dengan kehadiran artis, pempengaruh dan personaliti terkenal termasuk Haziq Rosebi, Siti Nordiana, Naqiu Boboy, Nizam Jentik-Jentik, Papayen, Sara Anna dan ramai lagi. FWSS 2026 bukan sekadar festival makanan, malah menjadi platform memelihara serta memperkenalkan kekayaan warisan kulinari Malaysia kepada generasi akan datang.