Setiap impian hadir dengan harga yang perlu dibayar, dan ada kalanya harga itu terlalu berat untuk diluahkan. Berpaksikan nadi kisah tersebut, Tonton menutup tahun ini dengan sebuah naskhah seram thriller berjudul Santau Perempuan Terlarang, yang menyelami sisi paling gelap dunia hiburan dengan menyingkap obsesi terhadap populariti dan pengorbanan yang sanggup dilakukan demi mencapai puncak kejayaan.
Siri ini bakal menemui penonton mulai 18 Disember 2025 dan akan bersiaran setiap Isnin dan Khamis dengan satu episod berdurasi satu jam, secara eksklusif di Tonton. Jalan ceritanya membawa penonton menelusuri sejauh mana seseorang sanggup menggadaikan prinsip dan maruah diri demi impian yang dirasakan semakin hampir digapai. Penceritaan ini diperkukuh dengan lakonan mantap barisan pelakon seperti Emma Maembong, Nabil Aqil, Fadlan Hazim, Farid Kamil, Amin Iman dan Hanna Aqeela.
Kisah Santau Perempuan Terlarang berpusat pada Iqbal, lakonan Nabil Aqil, seorang pelakon yang telah lama bergelut dalam industri hiburan namun masih gagal mendapat pengiktirafan. Walaupun berulang kali menghadiri uji bakat, nasibnya tetap sama, dan yang lebih menyakitkan, watak utama yang diimpikannya sering dirampas oleh Ako Danial, lakonan Fadlan Hazim, seorang pelakon sensasi yang sentiasa menjadi pilihan penerbit.
Tekanan kerjaya yang tidak menentu turut memberi kesan kepada kehidupan peribadinya apabila hubungan dengan tunangnya, Maria, lakonan Hanna Aqeela, semakin retak. Dalam keadaan terdesak dan terhimpit, Iqbal menerima cadangan rakannya Maman, lakonan Amin Iman, untuk bertemu dengan seorang wanita bernama Sapora. Dikenali sebagai pengamal rawatan tradisional yang kononnya mampu “membersihkan aura”, Sapora digambarkan sebagai wanita berwajah lembut dan bertutur halus, sering dipuji kerana kesediaannya membantu mereka yang datang mencari pertolongan.
Pertemuan dengan Sapora menjadi titik perubahan dalam hidup Iqbal. Perlahan-lahan, peluang yang diimpikannya seolah-olah hadir tanpa diduga, seakan semua pintu kejayaan terbuka luas di hadapan mata. Namun persoalan mula timbul apabila perubahan itu datang dengan harga yang tidak disedari. Apakah yang sebenarnya dilakukan Sapora sehingga hidup Iqbal berubah secara drastik, dan adakah dia sedar bahawa dirinya sedang terperangkap dalam satu perjanjian yang semakin mencengkam?
Mengulas tentang wataknya, Emma Maembong menyifatkan Sapora sebagai karakter yang kompleks dan mencabar. Beliau berkongsi bahawa sudah lama tidak kembali ke genre mistik, dan watak ini memberi ruang untuk meneroka sisi psikologi yang lebih mendalam. Sapora bukan sekadar wanita misteri, tetapi simbol kepada obsesi dan kuasa, menuntut pengawalan emosi yang halus serta penghayatan unsur sensual dan trauma yang tersembunyi.
Santau Perempuan Terlarang menjanjikan sebuah kisah yang bergerak dalam bayang-bayang rahsia dan pilihan terlarang, mengajak penonton menilai harga sebenar sebuah kejayaan. Siri ini bakal mula ditayangkan minggu ini, eksklusif di Tonton. Untuk perkembangan lanjut dan maklumat terkini tentang rancangan kegemaran, penonton boleh mengikuti Tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram menerusi akaun @tontonmy.