Ejen Ali The Movie 2: Tiga Lagu Hebat, Tiga Suara Ikonik Menghidupkan Emosi Filem

Hanya Kamu M Nasir Hanya Kamu M Nasir

Filem animasi kegemaran ramai, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), kini kembali memukau penonton dengan aksi yang lebih hebat, jalan cerita yang matang, dan tentunya aura luar biasa yang tidak akan anda lupakan! Kali ini, selain visual yang memukau, filem ini turut diperkaya dengan tiga lagu runut bunyi (OST) epik hasil kolaborasi bersama tiga nama besar industri muzik tanah air dan serantau Dato’ M. Nasir, Nidji, dan Hael Husaini.

Tiga lagu ini bukan sekadar pelengkap mereka memainkan peranan penting dalam membina emosi, menambah momentum, serta menyuntik nilai-nilai positif yang menjadi nadi kepada kisah Ejen Ali. Dari semangat perjuangan peribadi, ikatan persahabatan sejati, hingga kepada keberanian bangkit menempuh cabaran besar, setiap lagu membawa lapisan tema yang memperkukuh lagi penceritaan filem animasi paling dinanti tahun ini.

Hanya Kamu – Dato’ M. Nasir

Lagu ‘Hanya Kamu’ menampilkan legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, dengan ciptaan muzik oleh Azri Yunus dan lirik hasil gabungan Azri Yunus, LunaAyla serta Dato’ M. Nasir sendiri. Lagu penuh semangat ini mengajak generasi muda untuk memperkukuh keyakinan diri dan terus bangkit menjadi versi terbaik diri mereka. Disampaikan dengan alunan muzik elektronik yang moden, dipadukan bersama vokal penuh jiwa Dato’ M. Nasir, lagu ini mengangkat tema perjuangan peribadi serta ketabahan yang teguh sebagai sumber kekuatan ketika menghadapi kegelapan selaras dengan konflik emosi yang dialami oleh watak utama, Ejen Ali, dalam filem ini.

“Teman Sejati” – Nidji

Dari Indonesia, band popular Nidji menyumbang lagu “Teman Sejati” yang sudah menarik perhatian peminat sejak keluaran album Manifestasi Hati Januari lalu. Lagu pop yang mudah didengari ini mengetengahkan makna persahabatan sejati yang menguatkan setiap ejen dalam menghadapi cabaran besar. Melodi mesra telinga dan lirik yang menyentuh jiwa menjadikan lagu ini anthem yang mengikat erat ikatan antara watak-watak Ejen Ali.

“Penjuara” – Hael Husaini

Lagu ‘Penjuara’ karya Hael Husaini dan Iqie Hugh bukan sekadar lagu biasa, tetapi sebuah pernyataan jiwa penuh semangat dan inspirasi. Menggabungkan elemen electro pop moden dengan lirik yang membakar motivasi, lagu ini menggambarkan Ejen Ali sebagai seorang ‘penjuara’ pejuang yang tidak pernah mengalah dan berani menghadapi cabaran mental daripada Neonimus, antagonis utama dalam filem EATM2. Dengan rentak yang catchy dan mesej keyakinan diri yang kuat, ‘Penjuara’ pasti menjadi siulan kegemaran peminat Ejen Ali yang sentiasa bersedia untuk melangkah maju. Lagu ini akan mula diputarkan di Radio Hot FM dan Kool 101 hari ini, dan akan tersedia di platform digital mulai minggu depan.

Tiga lagu, tiga rasa, satu pengalaman sinematik yang luar biasa! Kolaborasi muzik rentas negara bersama barisan penyanyi tersohor menjadikan Ejen Ali The Movie 2 bukan sekadar filem animasi yang memukau dari segi visual, malah turut mengalirkan emosi mendalam menerusi kekuatan runut bunyinya.

Bersedialah Satria telah bangkit! Irama yang membara bakal membangkitkan semangat juang dan heroisme dalam setiap detik perjalanan Ejen Ali. Sebuah aksi animasi yang bukan sahaja mencuit mata, malah menyentuh hati. Jangan lupa kongsikan detik kegemaran anda dengan tanda pagar rasmi:
#EjenAli #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #AniMY dan jadikan media sosial medan sembang terhangat peminat Ejen Ali!