Eda Ezrin dan Den Manjo kembali dengan “Adek Saye Abe Sore”, kesinambungan kejayaan “Bae Soba Bae”

Sentuhan berbisa komposer tersohor, Eddie Hamid, menerusi lagu “Cinta Setandan Pisang” atau lebih dikenali sebagai “Bae Soba Bae” nyanyian Eda Ezrin dan Den Manjo yang dilancarkan pada Disember 2023 ternyata memberi impak besar kepada kedua-dua penyanyi tersebut. Lagu dengan lirik hasil ciptaan Fadil Turbo dan Mama Ana itu berjaya meraih lebih 33 juta tontonan di saluran YouTube Kijang Music sehingga kini.

Tahun ini, Eddie kembali menghasilkan karya baharu buat pasangan duet berkenaan bersama komposer berbakat, Mekiya menerusi lagu “Adek Saye Abe Sore”. Lagu yang menampilkan lirik ciptaan Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha itu dijadualkan dilancarkan pada 26 Mac 2026.

Menurut Eddie, “Adek Saye Abe Sore” merupakan kesinambungan daripada kejayaan lagu “Cinta Setandan Pisang” dan kini sedia untuk diperdengarkan kepada peminat. Kali ini, Eda Ezrin dan Den Manjo bakal tampil dengan susunan muzik yang lebih moden, meskipun masih mengekalkan elemen dikir barat yang menjadi identiti karya tersebut. Beliau turut menjangkakan lagu ini mampu mengulangi kejayaan karya terdahulu. Eddie turut berkongsi bahawa lagu ini sebenarnya telah disiapkan lebih setahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan susulan situasi yang melibatkan Eda Ezrin. Walaupun menerima permintaan daripada penyanyi lain, beliau memilih untuk menyimpan lagu tersebut kerana yakin genre dan vokalnya sangat sesuai dengan Eda Ezrin, apatah lagi ia merupakan kesinambungan kepada karya sebelumnya.

Bagi Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 31, peluang untuk kembali bergandingan dengan Den Manjo dalam lagu ini merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan. Beliau meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang terus diberikan oleh Eddie Hamid dan menyatakan proses rakaman berjalan lancar memandangkan mereka sudah mempunyai keserasian hasil kolaborasi terdahulu. Tempoh rakaman juga tidak mengambil masa lama kerana masing-masing sudah memahami peranan dan bahagian masing-masing. Eda turut menyatakan rasa gembira kerana dapat kembali bekerjasama dengan pasukan produksi yang sama.

Walaupun sudah berpengalaman, Eda mengakui tetap berdebar menantikan reaksi pendengar terhadap lagu baharu ini. Menurutnya, perasaan tersebut timbul kerana sedar lagu ini pasti akan dibandingkan dengan karya sebelumnya. Namun begitu, beliau tetap berharap agar “Adek Saye Abe Sore” mampu diterima baik oleh pendengar dan berpotensi menduduki tangga teratas carta lagu.

Selepas melalui episod sukar dalam hidupnya, Eda bersyukur kerana rezekinya dalam industri hiburan terus mengalir dan berharap kehadiran lagu ini akan membuka lebih banyak peluang untuknya terus berkarya.

Den Manjo atau nama sebenarnya Mohamad Hafizzudin Md. Yusof, 30, pula menyifatkan peluang merakamkan lagu terbitan Kijang Music ini sebagai satu penghargaan yang amat bermakna. Beliau mengakui tidak sabar untuk kembali bekerjasama dengan Eda Ezrin selepas kejayaan lagu duet mereka sebelum ini. Walaupun terpaksa menunggu agak lama, beliau tetap bersyukur kerana dapat kembali berpadu suara dan berharap lagu ini akan menerima sambutan hangat seperti karya terdahulu.

Lagu “Adek Saye Abe Sore” terbitan Kijang Music dan edaran Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik digital pada 26 Mac 2026. Video muzik rasmi lagu tersebut pula boleh ditonton di saluran YouTube Kijang Music bermula 25 Mac 2026 jam 8 malam menerusi pautan https://youtu.be/cDee7SZwtbk?si=kBnG2y8VmXO-iNIz