EcoSys (Malaysia) Berhad, penyedia penyelesaian perindustrian kepada industri pan semikonduktor, telah memeterai perjanjian taja jamin bersama M & A Securities Sdn Bhd sebagai persediaan untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
EcoSys menyediakan dua kategori penyelesaian perindustrian yang saling melengkapi, merangkumi fabrikasi komponen kejuruteraan jitu dan modul sub pemasangan berketulenan ultra tinggi (UHP), serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), penyesuaian, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem pengurangan.
Penyelesaian syarikat menyokong pelbagai aplikasi termasuk peralatan pembuatan semikonduktor, pengeluaran semikonduktor hadapan, peralatan pembuatan panel fotovoltaik solar (PV) dan sistem bekalan gas perindustrian.
EcoSys bersama anak syarikatnya memiliki jenama EcoSys serta harta intelek berkaitan rangkaian sistem pengurangan CDO, Vector, Marathon dan Guardian. Kebanyakan sistem pengurangan proprietari yang dibangunkan pasukan R&D syarikat telah diperakui mematuhi piawaian SEMI dan CE yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Operasi fabrikasi UHP syarikat pula disokong oleh keupayaan yang diperakui ISO serta bilik bersih Kelas 5 ISO di kilangnya yang terletak di Simpang Ampat, Pulau Pinang.
Menurut prospektus di laman web Bursa Securities, IPO EcoSys melibatkan terbitan awam sebanyak 145.70 juta saham baharu, bersamaan kira kira 25.5% daripada modal saham terbitan Kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 571.35 juta saham selepas penyenaraian. Tiada tawaran untuk jualan dibuat di bawah cadangan IPO tersebut.
Daripada jumlah itu, sebanyak 28.56 juta saham atau 5.0% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia. Sebanyak 14.28 juta saham diperuntukkan kepada pelabur awam Bumiputera, manakala baki 14.28 juta saham ditawarkan kepada pelabur awam Malaysia yang lain.
Sebanyak 11.43 juta saham atau 2.0% pula akan diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja Kumpulan yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.
Selain itu, 71.42 juta saham atau 12.5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan akan diperuntukkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).
Sebanyak 34.28 juta saham lagi atau 6.0% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan akan diperuntukkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Di bawah perjanjian taja jamin tersebut, M & A Securities akan menaja jamin 40 juta saham baharu yang merangkumi saham untuk orang awam Malaysia serta individu yang layak di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu.
Baki 105.70 juta saham baharu pula akan ditempatkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI serta pelabur terpilih oleh M & A Securities dalam kapasitinya sebagai Ejen Penempatan.
EcoSys dijangka mengumpul hasil kasar kira kira RM39.34 juta daripada terbitan awam tersebut. Dana berkenaan akan digunakan terutamanya untuk menyokong strategi pertumbuhan syarikat, termasuk mengembangkan segmen sistem pengurangan melalui pembelian komponen dan modul utama.
Sebahagian daripada hasil IPO turut akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, meningkatkan keupayaan operasi menerusi pelaburan dalam jentera dan tenaga kerja, mengembangkan kehadiran Kumpulan di pasaran India, membiayai keperluan modal kerja serta menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan EcoSys, Chan Chee Wei berkata, pemeteraian perjanjian taja jamin itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan syarikat untuk menjadi sebuah syarikat tersenarai awam.
Menurut beliau, EcoSys telah membina keupayaannya selama bertahun tahun dalam proses pembuatan yang mempunyai tuntutan teknikal tinggi, khususnya dalam aspek kebolehpercayaan, kebersihan, ketepatan dan pematuhan alam sekitar.
Beliau turut menghargai keyakinan M & A Securities terhadap model perniagaan, rekod prestasi operasi serta prospek pertumbuhan EcoSys.
EcoSys telah memperoleh kelulusan Bursa Securities untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Jun 2026.
M & A Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO tersebut, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd dilantik sebagai Penasihat Kewangan.












