DSV Terhibur dengan Aksi Penuh Energi dalam Duyung Legenda Aurora

Filem Duyung Legenda Aurora menerima reaksi positif daripada usahawan dan personaliti terkenal, Dato’ Seri Vida, yang hadir memeriahkan Malam Gala filem tersebut pada 17 Disember lalu. Menurut beliau, filem ini berjaya menyajikan gabungan aksi dan komedi yang menghiburkan serta sesuai ditonton oleh seisi keluarga daripada pelbagai lapisan usia.

Dato’ Seri Vida berkata, antara elemen yang paling menarik perhatiannya ialah babak-babak aksi yang dipersembahkan sepanjang filem ini. Beliau menyifatkan elemen tersebut sebagai segar dan berbeza, sekali gus memberikan pengalaman tontonan yang lebih menyeronokkan berbanding karya-karya sebelum ini.

Beliau turut memuji kehadiran kumpulan lawak Zero yang dianggotai oleh Sharif, Atu dan Syaiful, yang disifatkan berjaya membawa aura positif menerusi lawak bersahaja yang mengena dan selari dengan jalan cerita. Menurutnya, kehadiran trio tersebut menjadikan filem ini lebih ceria dan mudah dinikmati oleh penonton.

Selain itu, Dato’ Seri Vida turut meluahkan rasa terhibur dengan kemunculan watak ikonik Jimmy yang dibawakan oleh Saiful Apek, yang kembali mencuri perhatian seperti dalam filem Duyung yang terdahulu. Beliau berpendapat bahawa kehadiran pelawak legenda tersebut membuktikan komedi klasik masih relevan dan terus diminati oleh masyarakat sehingga hari ini.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Vida turut memperkenalkan single terbaharunya berjudul Happy yang dipilih sebagai salah satu lagu runut bunyi rasmi filem Duyung Legenda Aurora. Lagu tersebut melengkapkan suasana ceria dan menghiburkan filem ini, sejajar dengan tema dan perjalanan ceritanya. Pada Malam Gala tersebut, beliau turut membuat persembahan khas menerusi lagu berkenaan, sekali gus menceriakan acara dan menerima sambutan hangat daripada para tetamu yang hadir.

Duyung Legenda Aurora bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 25 Disember 2025. Orang ramai dijemput untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan filem ini dan menyertai perbualan di media sosial dengan menggunakan tanda pagar #DuyungLegendaAurora dan #FilemHiburanHujungTahun.

Untuk maklumat lanjut serta kandungan eksklusif berkaitan Duyung Legenda Aurora, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.