Dendam Anak Mafia, Cinta Jadi Ujian

Kuala Lumpur, 5 Jun 2025 – Bersedia untuk dibawa ke sisi gelap Kuala Lumpur dalam Anak-Anak Mafia, drama bersiri 10 episod yang penuh aksi, konflik dan emosi. Mula ditayangkan 12 Jun ini secara eksklusif di Tonton, drama ini menyajikan kisah dendam, cinta dan pengkhianatan yang bakal memaku perhatian penonton.

Mierul Aiman membawa watak Andra, pemuda dari Thailand yang menyusup masuk ke dalam geng mafia Serigala Merah demi membalas dendam atas kematian ibu bapanya 24 tahun lalu. Ketuanya, Ice (Fitri Farok), ialah anak kepada Arie Wijaya, individu yang dipercayai menjadi dalang tragedi silam tersebut.

Namun, misi Andra mula terganggu apabila dia terjerat dalam cinta terlarang bersama Katrina (Scha Elinnea), kekasih Ice yang turut memendam rasa terhadapnya. Antara cinta dan dendam, siapa yang akan dikhianati?

Turut mewarnai drama ini ialah Black (Fariz Isqandar), bekas pesalah juvana yang kini mengurus sindiket haram, serta Rudy (Zhen Ning), penggodam siber yang menyimpan kisah silam kelam.

Disutradarai oleh Shuhaimi Zulkefli, Anak-Anak Mafia menggabungkan aksi, jenayah dan drama emosi yang padat dengan kejutan dan konflik yang tak disangka. Siri ini turut mendapat sorotan peminat semasa sesi Meet & Greet sempena ulang tahun ke-41 TV3 di PBAKL 2025, yang berlangsung meriah pada 31 Mei lalu dengan kehadiran barisan pelakon utama.

Jangan ketinggalan untuk menonton Anak-Anak Mafia bermula 12 Jun 2025 di Tonton. Ikuti perkembangan lanjut menerusi media sosial rasmi Tonton di @tontonmy dan gunakan hashtag #Tonton untuk sertai perbualan! – Tehtariktimes