Dato’ Sri Siti Nurhaliza Dinobatkan Sebagai Wakil Spotify EQUAL Singapore & Malaysia bagi Mac 2026

Ikon muzik tersohor, Siti Nurhaliza, terus mengukuhkan legasinya apabila sekali lagi dipilih sebagai wakil kempen Spotify EQUAL Singapore & Malaysia bagi bulan Mac 2026, sekali gus menandakan penyertaan kali kedua beliau dalam inisiatif berprestij ini. Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian luar biasa beliau dalam industri muzik, malah turut mengangkat suara wanita di rantau Asia Tenggara ke pentas yang lebih luas.

Mengulas mengenai pencapaian ini, Dato’ Sri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur atas penghormatan yang diterima. “Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rezeki ini. Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Singapore & Malaysia merupakan satu penghormatan yang sangat besar buat saya,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, pengiktirafan ini menjadi bukti bahawa muzik tidak mengenal batas usia mahupun tempoh masa. Dalam era digital yang berkembang pesat, pemilihan beliau sebagai wajah kempen yang memperkasakan wanita membuktikan bahawa karya berkualiti kekal relevan dan terus dihargai di platform penstriman global.

Sebagai figura wanita berpengaruh, beliau melihat pencapaian ini sebagai satu representasi buat semua anak seni wanita di rantau ini. “Ini bukan sekadar kejayaan individu, tetapi satu mesej bahawa suara wanita mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan peminat di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia,” tambah beliau, sambil merakamkan penghargaan kepada Spotify atas usaha berterusan dalam memperkasakan wanita melalui muzik.

Dalam masa yang sama, Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut berkongsi nasihat buat penyanyi wanita muda yang ingin membina kerjaya mampan dalam industri muzik masa kini. Beliau menekankan kepentingan mengejar kualiti berbanding populariti sementara, serta membina identiti seni yang unik dan konsisten. “Jangan hanya mengejar viral, tetapi kejarlah kualiti. Identiti yang kuat dan disiplin dalam menjaga vokal akan memastikan anda kekal relevan merentas zaman,” jelas beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa industri muzik sentiasa berubah, dan artis perlu bijak menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta trend semasa tanpa melupakan asas seni mereka. Selain itu, sikap positif dan ketahanan diri juga amat penting dalam menghadapi cabaran industri.

Mengakhiri perkongsian, beliau menegaskan bahawa peminat merupakan tunjang utama dalam perjalanan kerjaya seseorang artis. “Hargai peminat anda kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di mana-mana,” katanya.

Pemilihan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai wakil Spotify EQUAL Singapore & Malaysia sekali lagi membuktikan pengaruh dan relevansi beliau sebagai ikon muzik serantau, serta menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus berkarya dan mengangkat suara wanita dalam industri muzik.