Merakam semula lagu-lagu lama yang pernah dipopularkan oleh artis legenda merupakan amalan yang biasa dan dihargai dalam industri muzik. Ramai penyanyi di seluruh dunia sering melakukannya kerana lagu-lagu klasik ini mempunyai irama yang abadi. Selepas diberi nafas baru, karya-karya emas ini terus mendapat tempat di hati generasi masa kini, menjadikan mereka lebih menghargai keindahan dan keunikan muzik zaman silam.
Namun begitu, tidak semua penyanyi baharu berjaya menjadikan lagu-lagu rakaman semula sebagai karya yang mudah diingati. Ada beberapa rakaman semula yang gagal serta tidak diketahui dan ada juga yang berjaya mencuri perhatian. Hanya beberapa penyanyi hebat sahaja yang mampu menghidupkan semula karya-karya lama ini.
Antara yang mahu melakukan perkara ini adalah salah seorang penyanyi senior Malaysia yang dikenali dengan vokalnya yang luar biasa, iaitu Dato’ Aishah. Pernah menembusi pasaran antarabangsa di zaman mudanya bersama kumpulan The Fan Club, Dato’ Aishah kembali dengan rakaman semula lagu “Di Pinggir Kayangan” yang pernah dibawa oleh biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.
“Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya sangat meminati suara beliau dan pernah berpeluang berkongsi pentas yang sama dengan arwah. “Di Pinggir Kayangan” adalah sebuah lagu cinta yang mempunyai semangat positif dan gembira serta
lenggok kemelayuan yang sangat merdu,” ujar Dato’ Aishah sambil menjelaskan mengapa beliau memilih lagu ini untuk dirakam semula.
Selain itu beliau juga mahu anak-anak muda masa kini mengenali lagu-lagu lama yang bagus.
“Lagu-lagu seperti “Di Pinggir Kayangan” adalah sebuah lagu yang harus diperkenalkan semula kepada generasi baru. Ia begitu bermakna buat saya kerana ia mengingatkan saya kepada idola saya tersebut,” tambahnya lagi.
Oleh kerana ia merupakan rakaman semula dengan nafas baharu, terdapat beberapa perbezaan ketara dalam versi Dato’ Aishah.
“Akan kedengaran kelainan dari segi susunan muzik dan sudah semestinya suara saya berbeza dari suara penyanyi asal. Lagu juga dirakamkan dalam nota yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan yang asal,” katanya tentang versi baharu lagu tersebut.
Saat ditanya tentang harapannya untuk projek terbaharunya ini, beliau menyatakan bahawa beliau mahu lagu ini diterima baik oleh semua.
“Semoga lagu-lagu seperti “Di Pinggir Kayangan” ini akan mendapat tempat dalam kalangan para pendengar muda dan sudah tentunya pendengar yang lebih senior juga. Bila kita dapat menghayati lagu-lagu lama barulah kita dapat kemajuan mencipta lagu-lagu baharu,” bingkas Dato’ Aishah di akhir bicara.
Bakal dikeluarkan pada tarikh 19 Julai 2024, “Di Pinggir Kayangan” versi Dato’ Aishah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.
Kredit:
Artis: Dato Aishah
Komposer: Raja Kobat Salehuddin Bin Raja Musa
Penulis lirik: Raja Kobat Salehuddin Bin Raja Musa
Produser (Susunan Baharu): Mas Dewangga
Tarikh Pelancaran : 19 Julai 2024