Cradle Bangkit Dengan “Hela Nafasku” Selepas Hampir Dua Dekad

Band rock alternatif terkenal, Cradle, muncul membawa kejutan dengan pembikinan album studio baharu berjudul Hela Nafasku selepas hampir 20 tahun menyepi. Membawa vibrasi era 90-an, kumpulan yang pernah menembusi pasaran tanah air di tengah aliran muzik grunge tiga dekad lalu ini tampil dengan barisan baharu untuk menunaikan impian yang lama tertunda.

Menurut pengasasnya, Addy Rasidi, penghasilan Hela Nafasku bukan sekadar pernyataan mengenai kemunculan semula Cradle, malah meneruskan legasi dengan karya berjiwa Nusantara mereka, bermula dengan Ayuh! sebagai single pertama. Sejak penubuhannya pada 1995, Cradle beberapa kali bertukar anggota. Kini Addy, yang juga pemain gitar utama, meneruskan perjuangan Cradle bersama Eiz Mohd sebagai vokalis, Zul Wahab (pemain bes) dan Adha Lizam (pemain dram).

“Hela Nafasku yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sememangnya satu keraian. Paling bermakna, album ketiga ini yang hadir selepas hampir 20 tahun Cradle menyepi dilancarkan pada tahun ke-30 penubuhannya, ketika penghasilan album studio penuh dianggap tidak lagi relevan berbanding single. Impian untuk menghidupkan semula Cradle lama terpendam apabila saya sibuk dengan projek solo. Kini, tempoh hibernasi telah tamat dan Cradle kembali sebagai legasi untuk generasi baharu, direalisasikan dengan Hela Nafasku,” katanya, sambil mengumumkan persembahan Cradle Live! pada 14 November ini sempena kelahiran album berkenaan.

Malam istimewa anjuran Rasa Karya itu bakal berlangsung di Poolside Bistro, Ideas Hotel Kuala Lumpur, dengan penampilan legenda muzik Datuk Ramli Sarip sebagai tamu khas. Tiket berharga RM250 (VIP) dan RM160 termasuk bufet makan malam boleh didapati di www.iLassoTickets.com/cradlelive atau melalui hotline +6011 13297822.

Dirakam di Studio 47, Singapura, dan Sonic, Malaysia, Hela Nafasku memuatkan 11 lagu baharu hasil ciptaan Addy dan Eiz. Addy, selain menjadi Penerbit Eksekutif bersama Lisa Ang, turut bertindak sebagai Produser Album, Pengarah Artistik dan Penyusun Muzik. Album ini bernaung di bawah label Rasa Karya milik Ramli Sarip yang juga Penasihat Eksekutif. Proses rakaman bermula pada 2023, selepas Eiz yang dilamar sejak 2017 hanya bersetuju lima tahun kemudian.

“Cradle ketika masuk studio hanya ada saya dan Eiz. Seperti Eiz, lama saya mencari pemuzik. Sesi santai dengan Zul Wahab, juruteknik gitar pemuzik dikagumi Allahyarham Aji, tanpa diduga membawa kepada kesediaannya menyertai sebagai pemain bes. Adha pula pada usia 29 tahun menyuntik rasa segar dengan energinya. Satu video persembahannya yang dimuat naik seorang kawan menyerlahkan potensinya, namun selepas diperkenalkan, setahun dia menyepi. Saya hampir berputus harap apabila dia tiba-tiba menghubungi, bertanya sama ada Cradle masih memerlukan pemain dram. Sebaik melihatnya bermain, sah dia memang ditakdirkan untuk Cradle,” jelas Addy.

Cradle mula meraih perhatian menerusi album sulung Gurindam Keluli pada 1996, sebelum meledak dengan album kedua Ceritera Awan yang melakar kejayaan di Anugerah Planet Muzik 2008 apabila lagu Ayu dinobatkan Lagu Terbaik Tahun, sementara Ceritera Awan sendiri dipilih Album Terbaik Tahun.

Eiz yang berpengalaman sebagai vokalis Gerilia, sebuah projek dicetuskan Along, pemain gitar Exists, malah pernah membuat persembahan bersama Exists, menyifatkan usaha menjenamakan semula Cradle sebagai cabaran besar. “Apa yang boleh saya katakan ialah Cradle membawa satu aliran muzik yang hampir tidak dilakukan band tempatan lain. Gabungan kami berempat menjadikan Cradle tampil unik, terutama daripada segi muzik dan warnanya,” katanya.