‘Benci Jadi Cinta’ Drama Bersiri Vertikal Pertama TV3 Eksklusif di TikTok Drama Sangat!

Apabila dunia Syahmie Thsaqeef yang teratur dan sederhana bertembung dengan dunia Harissa Adlynn yang penuh warna-warni, timbul ketegangan yang tidak disangka-sangka. Tetapi di sebalik perbezaan dan konflik tersebut, adakah benih cinta mampu tumbuh? Saksikan kemunculan pertama Benci Jadi Cinta, drama bersiri vertikal pertama terbitan TV3 yang akan memikat hati penonton.

Drama romantik komedi ini membawa penonton menyelami kisah hubungan dua rakan sekerja yang sering bertentangan pendapat – Orked (Harissa Adlynn) dan Syah (Syahmie Thsaqeef). Mereka berdua mempunyai personaliti yang sangat berbeza; Syah, seorang yang kelihatan dingin dan teratur, manakala Orked sering kelam-kabut dengan gaya berfesyen yang berwarna-warni. Pertemuan pertama mereka bermula dengan insiden yang penuh ketegangan apabila Orked secara tidak sengaja membaling kasut tumitnya yang patah ke arah Syah, menyebabkan ketegangan antara mereka.

Namun, takdir memaksa mereka untuk bekerjasama dalam satu projek besar, dan hubungan mereka mula berkembang ke arah yang tidak dijangka. Walaupun penuh dengan cabaran dan perbezaan, momen-momen manis dan kekok seperti minum kopi bersama atau saling membantu dalam kesulitan mula menyemai perasaan sayang di hati mereka.

Apakah perasaan yang akan menguasai mereka selepas hati yang terluka mula sembuh? Dapatkah mereka menurunkan ego masing-masing dan mengakui perasaan cinta yang mereka pendam? Dan adakah kehadiran orang ketiga akan merumitkan hubungan mereka?

Drama ini akan ditayangkan eksklusif di TikTok Drama Sangat bermula 9 Disember 2024, dengan 20 episod berdurasi 2 minit setiap satu, yang disiarkan setiap hari pada jam 12 tengah hari. Sebagai drama bersiri vertikal pertama TV3, Benci Jadi Cinta menawarkan pengalaman menonton yang santai dan menghiburkan, sesuai dengan trend media sosial yang sedang berkembang pesat dalam kalangan penonton muda.

Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan TV3 berkata, “Kami di TV3 sentiasa berusaha untuk mengikuti perkembangan trend semasa dan memenuhi permintaan penonton muda melalui platform seperti TikTok. Dengan Benci Jadi Cinta, kami berharap dapat menarik perhatian dan memberikan hiburan berkualiti yang mudah diakses oleh generasi kini.”

Syahmie Thsaqeef yang memegang watak utama sebagai Syah turut meluahkan rasa teruja mengenai projek ini. “Saya bersyukur diberi peluang untuk memegang watak Syah dalam drama bersiri vertikal pertama TV3. Walaupun terdapat tekanan, saya melihatnya sebagai cabaran untuk menyerlahkan sisi terbaik saya sebagai pelakon. Saya percaya penonton akan jatuh hati dengan watak ini serta watak-watak lain yang mempunyai daya tarikan tersendiri,” ujar Syahmie.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama penuh warna-warni ini! Benci Jadi Cinta akan menemui penonton setiap hari bermula 9 Disember 2024, tepat jam 12 tengah hari. Sempurnakan hari anda dengan episod penuh kehangatan dan tawa yang akan menggembirakan hati anda!

Sertai perbualan dengan menggunakan hashtag #TeamBenci atau #TeamCinta dan ikuti perkembangan drama ini melalui laman sosial TV3:

  • Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram: @TV3Malaysia
  • Instagram rasmi Drama Sangat: @dramasangat

Dapatkan maklumat terkini dan jangan lupa untuk menonton episod pertama pada 9 Disember ini di TikTok Drama Sangat!