Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah memperkukuhkan usaha membudayakan penggunaan pembayaran elektronik (e-pembayaran) dalam kalangan masyarakat luar bandar, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana, di Ranau, Sabah.
Majlis perasmian Program Inisiatif Masyarakat Tanpa Tunai Ranau, telah disempurnakan oleh Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Menteri Kewangan Negeri Sabah. Turut hadir, Mohd Noor Jab, Pengarah Deposit dan Kad Bank Islam; Adlis Khairil Sazli Mohd Zaini, Pengarah Wilayah Sabah, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Azrul Fakhzan Mainor, Pengarah Kanan Divisyen Komersial, Payment Network Malaysia (PayNet).
Program ini bertujuan untuk menggalakkan para peniaga menggunakan kaedah e-pembayaran melalui DuitNow QR dan aplikasi perbankan mudah alih BIMB Biz by Bank Islam (BIMB Biz) bagi urusan perniagaan harian mereka.
Menerusi usaha yang dijalankan, para peniaga terlibat akan mendapat bimbingan dan sokongan menggunakan aplikasi BIMB Biz yang dilengkapi ciri-ciri direka khas untuk memudahkan pengurusan kewangan perusahaan yang dimiliki. Aplikasi tersebut juga membantu menguruskan risiko pengurusan tunai peniaga dengan memastikan rekod jual beli harian yang lebih teratur.
Pada masa sama, komuniti perniagaan juga boleh menerima pembayaran tanpa tunai (DuitNow QR) daripada pelanggan. Penggunaan kod QR merupakan satu saluran pembayaran yang mudah tanpa tunai yang selamat dan efisien .
Mohd Noor berkata, “Bank Islam giat mempromosikan penyelesaian berasaskan teknologi seperti kaedah e-pembayaran untuk menggalakkan lagi urus niaga tanpa tunai agar para pelanggan dan pengguna tidak ketinggalan dalam arus digital yang pesat berkembang. Kami komited memperluaskan kemudahan pembayaran dan perbankan elektronik, selain meningkatkan akses perkhidmatan yang inklusif dan mesra pengguna.”
Pada hari ini, 99 peratus daripada transaksi pelanggan Bank Islam disempurnakan melalui saluran elektronik, yang mana 18 peratus melalui Perbankan Internet Bank Islam; 56 peratus melalui aplikasi perbankan mudah alih GO by Bank Islam dan 25 peratus melalui Terminal Layan Diri di seluruh negara. Sementara aplikasi BIMB Biz kini telah membuat kutipan bayaran hampir RM300 juta pada tahun ini.
Dalam merancakkan lagi penerimaan e-pembayaran serta penyelesaian lengkap perbankan patuh Syariah Bank Islam kepada komuniti perniagaan di Ranau, majlis perasmian program tersebut turut melibatkan sesi taklimat mengenai kemudahan perbankan digital yang
disediakan serta pengenalan program pembiayaan mikro iTEKAD, Perbankan PKS dan Al-Awfar Bank Islam. Turut diadakan taklimat kesedaran mengenai penipuan kewangan yang dikelolakan BNM.
Setakat ini, sebanyak 100 peniaga di Ranau telah mendaftar aplikasi GO Biz dan menerapkan teknologi dalam perniagaan mereka.
Menurut Mohd Noor, “Menerusi inisiatif-inisiatif yang kami rancang, komuniti peniaga di daerah ini akan mendapat sokongan yang diperlukan dalam memanfaatkan aplikasi BIMB Biz dan DuitNow QR sebagai medium penerimaan pembayaran digital yang memudahkan urusan jual beli.”
“Objektif utama kami adalah untuk mewujudkan kesedaran umum akan pelbagai kemudahan dan manfaat yang boleh dinikmati pengguna menerusi kaedah perbankan digital yang lengkap, selamat dan memudahkan pengguna tanpa perlu mengunjungi bank fizikal Bank Islam,” tambah beliau.
Aplikasi GO Biz boleh dimuat turun melalui Apple AppStore, Google Play Store atau Huawei AppGallery.