BAC terus mengukuhkan komitmennya terhadap Malaysia apabila meraikan majlis pecah tanah bagi fasiliti pembuatan baharu di Nilai, Negeri Sembilan yang melibatkan pelaburan sebanyak USD150 juta. Pelaburan strategik ini mencerminkan keyakinan syarikat terhadap Malaysia sebagai hab pembuatan bernilai tinggi serta memperkukuh keupayaannya dalam memenuhi permintaan pelanggan di rantau Asia Pasifik (APAC).
Majlis pecah tanah tersebut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Puan Zuaida Abdullah, Presiden BAC Don Fetzer, Naib Presiden Global serta Ketua APAC Ted Lim, ahli-ahli pasukan kepimpinan APAC, pelanggan, rakan perniagaan serta tetamu kehormat lain.

Projek ini akan dibangunkan di atas tapak seluas 18.2 ekar menerusi dua fasa pembangunan. Fasa pertama dijadualkan siap menjelang penghujung tahun 2027 dan merangkumi fasiliti pembuatan seluas 30,000 meter persegi bersama pejabat kejuruteraan dan pembuatan serantau. Fasa kedua pula akan memberi tumpuan kepada pembangunan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan teknologi pembuatan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang, dengan fasiliti pembuatan teras dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Fasiliti baharu ini bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran BAC melalui penggunaan teknologi pembuatan moden dan automasi. Antara produk yang akan dihasilkan termasuk menara penyejukan litar tertutup, penyejuk adiabatik, sistem penyejukan hibrid serta penyelesaian penyejukan cecair yang memenuhi keperluan sektor pusat data, industri dan infrastruktur komersial di seluruh rantau APAC.
Selain meningkatkan kapasiti pembuatan, fasiliti ini turut menempatkan kemudahan pembangunan dan pengujian produk beriklim terkawal pertama BAC di rantau Asia Pasifik. Makmal tersebut membolehkan pasukan kejuruteraan tempatan membangunkan serta menguji teknologi penyejukan yang sesuai untuk iklim tropika dan aplikasi berketumpatan tinggi, sekali gus memperkukuh keupayaan inovasi syarikat.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA, Puan Zuaida Abdullah, pelaburan BAC membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pembuatan yang mampan dan bernilai tinggi. Beliau berkata pelaburan tersebut bukan sahaja memperkukuh ekosistem perindustrian negara, malah menyokong sektor pertumbuhan tinggi seperti pusat data dan elektronik maju serta membantu mempercepat penggunaan teknologi yang lebih cekap tenaga dan air.
Presiden BAC, Don Fetzer berkata Malaysia memainkan peranan penting dalam strategi pertumbuhan global syarikat. Pelaburan ini akan memperluaskan operasi pembuatan, memperkukuh inovasi serta membolehkan BAC menyediakan penyelesaian penyejukan mampan yang memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang.
Naib Presiden Global serta Ketua APAC BAC, Ted Lim pula berkata fasiliti baharu ini membolehkan syarikat beroperasi lebih dekat dengan pelanggan dan rakan kongsi di rantau Asia Pasifik. Dengan pengukuhan keupayaan pembuatan, kejuruteraan dan teknikal, BAC mampu meningkatkan daya respons serta menyokong pertumbuhan pesat sektor perindustrian dan infrastruktur digital.

Pelaburan ini dijangka memberi impak positif kepada ekosistem pembuatan negara dengan mewujudkan sehingga 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2035, termasuk dalam bidang kejuruteraan dan profesional. BAC juga akan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi serta melaksanakan program latihan industri bagi membangunkan bakat tempatan.
Selain itu, fasiliti tersebut menyasarkan pensijilan LEED Gold dan piawaian FM Approved, dengan pelbagai ciri cekap tenaga yang direka untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG). Langkah ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab pembuatan dan inovasi serantau yang mampan.
Komitmen BAC di Malaysia tidak terhenti pada pembinaan fasiliti ini sahaja. Syarikat merancang untuk terus melabur dalam automasi, penyelidikan dan pembangunan serta teknologi pembuatan maju sehingga tahun 2035, sekali gus mengukuhkan peranan Nilai sebagai hab pembuatan serantau BAC bagi memenuhi keperluan pelanggan di seluruh rantau Asia Pasifik.












