Astro, peneraju industri hiburan di Malaysia, menyambut kehadiran Ramadan 1447 Hijrah tahun ini dengan pelbagai kandungan khas untuk tontonan seisi keluarga, menjanjikan pengalaman yang lebih menarik. Selain hiburan, Astro turut memberikan pengisian kerohanian bagi memenuhi keperluan tontonan setiap lapisan umur melalui pilihan kandungan di televisyen, radio, platform digital, serta aktiviti lapangan sepanjang Ramadan.
Kempen Ramadan dan Raya Astro 2026 menawarkan seleksi kandungan yang segar dan terkini, disertai barisan duta yang akan menyampaikan mesej-mesej positif kepada masyarakat, termasuk selebriti terkenal seperti Zizan Razak, ALPHA, Sharifah Shahira, dan Auddra. Seperti tahun-tahun sebelumnya, program jelajah ‘Assalamualaikum’ akan menjadi pembuka tirai kempen Ramadan. Tahun ini, program tersebut akan bertapak di Masjid Seberang Takir, Kuala Terengganu pada 7 Februari 2026, menjalankan pelbagai aktiviti menarik bersama masyarakat setempat.

Naib Presiden Melayu, Antarabangsa, Kanak-kanak & On Demand Astro, Azlin Reza Azmi, berkata, “Tahun ini, Astro mengangkat tema ‘Bersama Lagi Jadi’, mencerminkan setiap detik Ramadan dan Raya akan lebih indah apabila diraikan bersama yang tersayang. Barisan kandungan Astro Ramadan kali ini meraikan semua peringkat usia, merapatkan hubungan sesama insan melalui pelbagai program berunsur kerohanian, drama terkini, serta hiburan variasi seisi keluarga. Astro menyediakan pengalaman tontonan yang baik untuk semua. Salam Ramadan Mubarak, semoga kita semua mendapat limpahan rahmat dan keberkatan pada bulan yang mulia ini.”
Pelanggan Astro boleh menikmati pelbagai program televisyen menarik, termasuk program Islamik seperti ‘Home Of Ramadan’ di Astro Oasis yang menemani penonton secara langsung selama tiga jam setiap Isnin hingga Jumaat, sarat dengan segmen interaktif seperti mengaji, pembetulan tajwid, tadabbur Al-Quran, masak-masak dan soal jawab. Program ‘Halaqah Nunha’ menampilkan Ustaz Haris Ismail dan Neelofa dalam perbincangan bermakna untuk meningkatkan iman dan rohani penonton. ‘MeleTOP Moreh x Tazkirah Malam Jumaat’ akan menampilkan penceramah popular, selebriti jemputan dan persembahan nasyid, manakala ‘Surau Hunting’ membawa penonton melihat surau-surau unik dan kisah komuniti yang tersirat di sebalik setiap lokasi. Program realiti ‘Mualim Muda: Ke Mekah, Kita!’ pula mengikuti perjalanan juara dan naib juara musim pertama menjalani ibadah umrah sepanjang Ramadan.

Sajian drama juga terus menjadi pilihan penonton. Slot Megadrama Astro Ria menampilkan ‘Andai Itu Takdirnya 2’ yang mengisahkan konflik kesetiaan seorang suami, manakala ‘Sujud Terakhir Encik Norman’ membawa pertembungan antara akidah, pengkhianatan dan keruntuhan iman. ‘Keluarga Iskandar 3’ kembali selepas 11 tahun dengan pelakon asal dan baharu, manakala ‘Mencari Isteri Sempurna’ menyajikan drama penuh konflik dan emosi. Program kanak-kanak turut hadir dengan ‘Upin & Ipin Musim 19’, yang menampilkan pengembaraan baharu dan momen menyentuh hati dari Kampung Durian Runtuh.
Astro juga menyajikan program masakan, hiburan, realiti dan komedi sepanjang Ramadan. ‘MeleTOP Moreh’ memeriahkan malam Selasa bersama Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Namie, manakala ‘Dapur Bapak Bapak’ menampilkan Chef Wan, Tok Ram dan Tok Jalal di dapur. ‘Misi Lawak Superstar’ mencabar pelawak keluar dari zon selesa pentas, dan ‘Kisah Hidupku’ menyingkap kehidupan wira-wira tidak didendang Malaysia.
Di platform digital, Astro Gempak menampilkan rancangan seperti ‘Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani’ yang menggabungkan hiburan dan interaksi bazar, serta ‘Sayang Ajar Masak S3’ yang menyaksikan selebriti jemputan memasak secara serentak dengan cabaran menukar hidangan.
Di platform radio, pendengar boleh mengikuti program menarik seperti ‘ERA: Tumpang Belajar’ bersama Fazziq dan Isha, ‘SINAR: JOHN SINAR’ dengan pengagihan roti John untuk komuniti, ‘GEGAR: Projek Balang Air’ di Pantai Timur, ‘ZAYAN: Rasa Kasih Zayan’ kolaborasi bersama NGO untuk memberi juadah kepada gelandangan, serta program khas di ERA Sabah dan ERA Sarawak yang menyokong peniaga tempatan dan menawarkan hadiah tunai untuk pendengar.
Astro First pula membawa pengalaman Pawagam Di Rumah Anda dengan filem sosial realiti seperti ‘Akad Yang Hilang’, ‘Abah Saya, Uncle Mike’ dan ‘Amira Amir’, yang menyentuh isu sosial, keluarga dan cinta. Ramadan ini turut dimeriahkan dengan sticker WhatsApp khas Astro, boleh dimuat turun melalui aplikasi MyAstro untuk dikongsi bersama keluarga dan rakan-rakan.
Dalam tanggungjawab sosial korporat, Astro Kasih menjemput pelajar Kem Solat untuk menyertai acara Assalamualaikum dan menyumbang 100 pek bantuan melalui inisiatif Grobok Rezeki kepada golongan asnaf. Astro juga menyediakan saluran sumbangan dana melalui Program Kasih Ramadan bagi mereka yang ingin menjalankan ibadah sedekah. Maklumat lanjut mengenai kandungan Ramadan Astro 2026 boleh diperoleh di http://astroramadan.com.my/ atau melalui media sosial Astro Malaysia. Pelanggan juga boleh menikmati Pek Astro One bermula dari RM49.99*, menawarkan pengalaman hiburan digital tanpa batas.
*Tertakluk pada terma dan syarat.