TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Debaran Memuncak: Malam Ini Saksi Siapa Juara Sebenar Paling ‘Terhangat’

Poster rasmi promosi eksklusif Anugerah Melodi Terhangat 2026 yang memaparkan barisan hos utama iaitu Kamal Adli dan Ain Edruce

Persaingan 12 Trofi Eksklusif Anugerah Melodi Terhangat 2026

Selepas enam minggu kuasa undian peminat menyemarakkan persaingan, segala debaran akhirnya terjawab apabila Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026) membuka tirai malam kemuncaknya secara rasmi malam tadi. Bertempat di Selangor International Trade Centre (SITC), acara berprestij ini mempertaruhkan 12 anugerah utama serta satu trofi kemuncak yang menobatkan bintang paling popular sebagai pemilik gelaran paling “Terhangat”. Siaran langsung disiarkan menerusi TV3 dan strim di Tonton bermula jam 9.00 malam, menampilkan gandingan sulung Kamal Adli bersama Ain Edruce sebagai hos utama.

Suasana hebat penyampaian anugerah oleh barisan selebriti terkenal di atas pentas utama Anugerah Melodi Terhangat 2026

Pentas kemuncak turut digegarkan dengan persembahan bertenaga bertemakan “power” daripada barisan artis pelbagai genre dan generasi, antaranya Misha Omar, Ernie Zakri, Nadeera, DOLLA, Haqiem Rusli, Aisha Retno, Alyph dan Yasin Sulaiman. Memeriahkan lagi debaran penyampaian trofi, deretan bintang tersohor tanah air seperti Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Zarif Ghazzi, Siti Saleha, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Fattah Amin serta Daiyan Trisha turut tampil menggalas tanggungjawab sebagai penyampai anugerah.

Kemeriahan Karpet Merah Anugerah Melodi Terhangat 2026

Sebelum tirai pentas utama dibuka, kemeriahan dimulakan lebih awal menerusi acara Karpet Merah AMT2026 seawal jam 8.00 malam di TikTok Melodi Terhangat bersama hos Ceddy Ang, Fiza Frizzy dan Ferra Mazlan, disusuli liputan eksklusif di sebalik pentas tepat jam 9.00 malam. Menariknya, segmen karpet merah ini turut menyajikan dua cabaran interaktif penaja iaitu Fresh Smile Award Darlie dan Cheesy Pose Terhangat Gardenia QuickBites yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada selebriti yang hadir.

Bagaimanapun, persaingan malam tadi belum memuktamadkan keseluruhan pemenang apabila empat baki kategori iaitu Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat dan Selebriti Mandarin Terhangat hanya akan diumumkan pada CUCKOOTOPIA, Konsert Penghargaan Ulang Tahun Ke-12 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2026. Acara gilang-gemilang ini turut dijayakan bersama CUCKOO selaku Penaja Terhangat, Darlie, Gardenia QuickBites, Mentos serta Grab sebagai Rakan E-Hailing.