Debaran semakin terasa apabila seluruh negara menantikan detik bersejarah pelakon kesayangan Malaysia, Anna Jobling, bakal berangkat ke Seoul, Korea Selatan pada 1 Oktober ini untuk menghadiri Seoul International Drama Awards (SDA) 2025. Mewakili Malaysia dalam kategori Outstanding Asian Star Malaysia, Anna bukan sahaja membawa impian peribadi, malah harapan jutaan peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong langkahnya.
Pencalonan Anna dalam kategori berprestij tersebut menjadi bukti nyata terhadap bakatnya yang semakin menyerlah di persada seni. Pengiktirafan ini sekaligus membuka lembaran baharu dalam kerjayanya, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang bintang muda paling berpengaruh di rantau Asia.
Fenomena lakonan Anna mula tercipta menerusi drama popular Melur Untuk Firdaus dan kini diteruskan dengan drama Hai Cinta, Dengarkanlah. Drama tersebut berjaya mencuri perhatian bukan sahaja di Malaysia, malah turut mencipta gelombang di rantau Asia menerusi platform penstriman Tonton. Populariti drama itu melonjakkan undian Anna sehingga mendahului carta, dengan setiap undi yang diterima menjadi bukti sokongan padu peminat yang mahu melihatnya menjulang nama Malaysia di pentas dunia.

“Saya benar-benar terharu dengan sokongan luar biasa daripada semua peminat. Pencalonan ini adalah hadiah terbesar buat saya dan saya amat bersyukur dapat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. Saya harap semua akan terus mendoakan dan menyokong saya, kerana kemenangan ini bukan sahaja untuk saya tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia,” ujar Anna penuh rasa syukur.
Dalam masa yang sama, Anna turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak berhenti memberi undian serta doa hingga ke malam kemuncak. Baginya, setiap sokongan amat bermakna dalam usaha membawa pulang kemenangan buat negara.
Bagi meraikan pencapaian ini, Tonton turut melancarkan promosi eksklusif Koleksi Pujaan Hati, dengan langganan istimewa hanya RM20 untuk tiga bulan menggunakan kod diskaun khas ‘ANNAJOBLING’. Melalui kempen ini, para peminat berpeluang menonton kesemua drama lakonan Anna sekali gus menyokong perjalanannya dari kaca skrin tempatan ke pentas antarabangsa.
Seoul International Drama Awards 2025 akan berlangsung pada 2 Oktober 2025 di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan. Anna bakal berdiri sebaris dengan bintang besar Asia, manakala acara berprestij ini turut disiarkan secara langsung di YouTube pada 2 Oktober dan ditayangkan melalui siaran SBS TV pada 3 Oktober, jam 6 petang waktu Korea. Acara karpet merah dijadualkan berlangsung pada jam 3.30 petang diikuti acara kemuncak anugerah dari jam 5.00 hingga 7.00 petang waktu Korea.
Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan kegemaran anda, ikuti @tontonmy di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram.