Penyanyi versatil tanah air, Amir Masdi, tampil dengan kelainan menerusi single terbaharu berjudul “Take Me Home”, yang memperlihatkan sisi baharunya sebagai artis serba boleh dalam industri muzik tempatan. Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Amir bersama komposer terkenal Edry Abd. Halim dan turut menjadi sebahagian daripada album keduanya, AM:PM, yang mengetengahkan pelbagai eksperimen muzik segar dan unik.

Inspirasi lagu “Take Me Home” tercetus ketika Amir berada di Manchester, England, di mana perasaan rindu terhadap tanah air membuahkan idea penulisan lagu berentak western rock, pop rock dan ballad rock cinta popular era 90-an dan awal 2000-an. Menariknya, konsep “home” dalam lagu ini membawa makna lebih mendalam daripada sekadar rumah fizikal ia melambangkan perasaan, seseorang dan tempat yang membuatkan kita berasa selamat. Lagu ini juga ditulis dengan pendekatan lebih ‘straightforward’, mengalir secara natural kepada pendengar dari awal hingga akhir.
Amir menegaskan bahawa karya ini bukan sekadar kisah peribadi, sebaliknya bersifat universal agar pendengar dapat mengaitkannya dengan pengalaman hidup masing-masing. Beliau juga berharap “Take Me Home” akan menjadi batu loncatan untuk membuka ruang baharu dalam pasaran muzik antarabangsa, selain memperkenalkan sisi nyanyiannya dalam bahasa Inggeris kepada khalayak lebih luas. Muzik video rasmi lagu ini bakal dilancarkan tidak lama lagi bagi melengkapkan pengalaman muzik yang ingin disampaikan.

Selain kejayaan muziknya, Amir baru-baru ini diberi penghormatan mewakili Malaysia ke Expo 2025 Osaka di Jepun melalui program National Day Spirit to Expo 2025 Osaka. Program ini mengetengahkan semangat Hari Kebangsaan Malaysia di pentas dunia menerusi persembahan budaya, muzik dan mesej perpaduan yang menjadi identiti negara. Amir meluahkan rasa bangga kerana dapat membawa semangat Malaysia ke peringkat global dan berharap persembahannya dapat membanggakan rakyat Malaysia serta memperkenalkan keindahan budaya tempatan kepada masyarakat antarabangsa.
Acara tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran seni dan budaya, demonstrasi masakan tradisional serta segmen interaktif yang memperkenalkan nilai Malaysia kepada pengunjung Expo 2025 Osaka. Langkah Amir Masdi ini bukan sahaja memperkukuh kedudukannya dalam industri muzik, malah meletakkan namanya sebagai wakil seni budaya negara di mata dunia.