Aksi Mengejutkan Emma Maembong, Santau Perempuan Terlarang Buat Warganet Terpaku

“Aku akan mencari dan terus mencari keturunanmu.” Teaser ringkas yang dimuat naik di media sosial ini sudah cukup untuk membuatkan warganet terpaku dan meremang bulu roma, sekali gus membangkitkan rasa tidak sabar dalam kalangan penonton untuk menyaksikan kisah penuh dramatik yang bakal dipersembahkan.

Salah satu babak yang mencuri perhatian memaparkan watak Sapora lakonan Emma Maembong sedang meratah daging mentah, yang dipercayai merupakan sebahagian daripada ritual ilmu sihir demi memenuhi permintaan Iqbal, watak yang dibawakan oleh Nabil Aqil. Babak berani ini nyata meninggalkan kesan mendalam dan mencetuskan rasa seram dalam kalangan penonton.

Reaksi warganet di media sosial pula dilihat cukup meriah. Ramai yang meluahkan rasa tidak sabar dengan bertanya waktu tayangan, malah ada yang mengakui telah menonton episod pertama. Keberanian drama ini menampilkan babak-babak seram turut menjadi topik perbualan hangat, termasuk penampilan Nabil Aqil yang tampil berbeza dalam genre seram. Tidak kurang juga pujian yang diberikan kepada Emma Maembong, dengan ramai menyifatkan lakonannya semakin menyerlah dan meyakinkan, sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa drama ini berpotensi besar untuk menjadi bualan ramai.

Dibintangi barisan pelakon mantap seperti Emma Maembong, Nabil Aqil, Fadlan Hazim, Farid Kamil, Hanna Qeela, Azri Iskandar, Marc Sadique dan Amin Iman, Santau Perempuan Terlarang menjanjikan penceritaan yang sarat dengan elemen misteri, seram psikologi serta konflik yang dekat dengan kepercayaan dan kegusaran masyarakat. Drama ini turut mengangkat persoalan tentang harga sebenar yang perlu dibayar apabila seseorang sanggup menggadaikan diri demi memenuhi sebuah hajat.

Penonton kini diajak untuk menyelami sebuah kisah gelap yang mungkin lebih dekat dengan realiti daripada yang disangka. Saksikan Tonton Original Series, Santau Perempuan Terlarang, yang bersiaran setiap Isnin dan Khamis, eksklusif hanya di Tonton di www.tonton.com.my.