Akademi Rakan Muda adalah inisiatif oleh Rakan Muda melalui Impact Malaysia yang bertujuan memperkasa belia dalam mencipta impak positif di komuniti.
Program inkubator impak sosial untuk changemakers belia ini telah bermula pada September lalu dan baru sahaja menamatkan fasa keduanya, iaitu Bengkel Akademi Rakan Muda selama lima hari yang diadakan di Hotel Bayview, Melaka.
Akademi Rakan Muda dicipta untuk membekalkan belia dengan pengetahuan, kemahiran, dan sumber yang diperlukan untuk mencipta impak sosial yang mampan. Program ini melibatkan fasa jangkauan, bengkel, bimbingan mentor, serta pemantauan dan penilaian projek semasa pelaksanaan.
Bengkel ini dihadiri oleh 50 peserta berbilang kaum dari Semenanjung, Sabah, dan Sarawak, di mana 10 projek impak sosial yang dipacu belia telah dipilih daripada 96 projek yang memohon berdasarkan impak yang ingin dibawa kepada komuniti mereka. Setiap projek terpilih akan menerima Dana Akademi Rakan Muda bernilai sehingga RM30,000 dan mesti melaksanakan projek mereka dalam tempoh maksimum dua bulan.
Zul Imran Ishak, SAVP Program & Pembangunan Impact Malaysia, menyatakan di hari penutupan bengkel bahawa masa depan yang mampan bermula dengan belia yang berani bercita-cita dan bertindak untuk mengubah keadaan. “Kami mahu belia melakukan sesuatu untuk perubahan yang baik kepada komuniti. Di Akademi Rakan Muda, kami berusaha memberikan sokongan supaya setiap belia mampu mencipta impak yang bermakna dan berkekalan,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Impact Malaysia, Ahmed Faris Amir, pula menyatakan bahawa Akademi Rakan Muda membuka peluang kepada belia untuk mencipta impak yang lebih daripada sekadar projek sementara, serta mendorong transformasi sosial yang berakar umbi dan berskala besar dalam komuniti.
Berikut adalah senarai 10 projek yang menerima Dana Akademi Rakan Muda, sehingga RM30,000 setiap projek:
Nama Projek | Negeri | Gaya Hidup Rakan Muda |
Kaya Raya
Program literasi kewangan yang melibatkan permainan papan (‘board games’) Kaya Raya yang dicipta khas untuk belia universiti dan pelajar sekolah. |
Seluruh negeri Johor | Rakan Prihatin, |
Suara Kami, Naratif Kami
Program untuk meningkatkan keyakinan diri dan apresiasi budaya dalam kalangan belia Orang Asli. |
3 KOA di Perak, Selangor & Kuala Lumpur | Rakan Demokrasi, Rakan Ekspresi |
Better Living with Myskills
Belia TVET menggunakan kemahiran yang mereka pelajari untuk membaiki kerosakan rumah di komuniti, mengajar komuniti kemahiran menyelenggara rumah dan meningkatkan kualiti kehidupan komuniti rentan. |
Daerah Muallim, Perak | Rakan Mahir, Rakan Prihatin |
Akademi Suarabayu
Program pemerkasaan belia di dalam industri muzik indie di Sabah, menerusi bengkel rakaman, hak cipta, program mentor, penciptaan video muzik dan showcase pelancaran. Antara jurulatih dan mentor yang terlibat adalah Amir Jahari dan Taja (Meet Uncle Hussain). |
Seluruh negeri Sabah | Rakan Muzik, Rakan Ekspresi |
Connect & Conserve Limestone
Projek belia komuniti mendaki untuk meningkatkan konservasi batu kapur menerusi program pendidikan ekologi dan ekspedisi di kawasan batu kapur sekitar Lembah Kinta, Perak. |
Kinta, Perak | Rakan Bumi, Rakan Prihatin |
Bumi Tuba
Projek rintis perusahaan sosial untuk meningkatkan pendapatan dan menjaga alam sekitar menerusi perniagaan pembuatan barang mandian menggunakan minyak terpakai di Pulau Tuba, Langkawi. |
Langkawi, Kedah | Rakan Bumi |
The Dream Team
Akademi bola sepak yang bertujuan untuk membina karakter dan jati diri belia di pedalaman Sarawak. |
Sibu, Sarawak | Rakan Aktif, Rakan Prihatin |
GoodKids Academy x PPR Documentary
Projek inkubator kesihatan mental untuk belia dan kanak-kanak PPR, dan pembikinan dokumentari untuk advokasi kesihatan mental kepada masyarakat. |
PPR Lembah Subang, Selangor | Rakan Prihatin |
Your 3B Formula: Bake, Brand, and Biz
Projek latihan kemahiran dan keusahawanan industri bakeri untuk komuniti anak muda rentan di Selayang. |
Selayang, Kuala Lumpur | Rakan Niaga, Rakan Mahir |
Demokrat Youth Development Academy
Projek untuk memberdayakan belia untuk menjalankan program advokasi sekitar isu pendidikan, gender dan OKU menerusi bengkel, penghasilan kertas polisi dan kerjasama erat bersama NGO dan pembuat polisi. |
Kuala Lumpur | Rakan Demokrasi |
Peserta dari pasukan Suara Bayu, Rohaiza Rosli, menjelaskan bahawa mereka berhasrat membawa ilmu muzik dari Semenanjung ke Sabah melalui Akademi Suara Bayu, memberi peluang kepada penggiat seni Sabah untuk berkembang. “Tidak semua orang Sabah dapat ke Semenanjung, jadi kami mahu berkongsi pengetahuan dan mengubah mentaliti. Ramai yang berbakat di sini, dan kami mahu mereka setanding dengan penggiat seni di tempat lain,” katanya.
Idreena dari pasukan Bumi Tuba pula menyatakan misi mereka untuk mengurangkan kesan negatif pembuangan minyak masak terpakai dengan menghasilkan sabun mesra alam. “Projek Bumi Tuba bertujuan menukar minyak terpakai kepada sabun, dengan pendekatan mampan. Kami juga sedang membangunkan sistem rantaian produk yang melibatkan pemasaran, logistik, dan jualan bersama Koperasi Pulau Tuba untuk memastikan kesan jangka panjang,” jelasnya.
Akademi ini turut melibatkan 10 mentor pakar industri dan pemimpin komuniti yang memberikan bimbingan kepada pasukan. Antara mentor yang terlibat ialah Melissa Idris (Penyampai Berita), Rizan Hassan (Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran), Gjie Arlis (Komposer dan Gitaris), Ahmad Faedzal Md Ramli (Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara), Divya Devi (MyCatalyz), dan beberapa lagi tokoh penting.
Program Akademi Rakan Muda ini akan berlangsung sehingga Januari tahun hadapan, melalui beberapa fasa termasuk reka bentuk projek, bengkel, pelaksanaan, bimbingan, serta pemantauan yang teliti.
Tempoh pendaftaran dan jangkauan Akademi Rakan Muda | 1 – 30 September 2024 | Seramai 270 peserta dari seluruh Malaysia telah menyertai Hari Terbuka Akademi Rakan Muda di 6 negeri dan 10 lokasi.
Kempen penyerahan cadangan projek secara atas talian juga dibuka selama 1 bulan untuk belia dari seluruh negara. |
Bengkel Akademi Rakan Muda | 16 – 20 Oktober 2024 | Dijalankan di Melaka, dan melibatkan seramai 50 peserta dari seluruh negara telah terpilih untuk menyertai program ini dengan kepelbagaian kaum: Melayu (14 orang), India (15 orang), Bumiputera Sabah (6 orang), Cina (5 orang), Orang Asli (5 orang), dan Bumiputera Sarawak (5 orang). |
Pelaksanaan Projek | 1 November – 24 Disember 2024 | |
Mentoring | 1 November – 24 Disember 2024 | |
Pemantauan & Penilaian | 1 Januari – 30 Mei 2025 |
Ikuti perkembangan Akademi Rakan Muda di media sosial Impact Malaysia @impactmsia. Kami juga mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak yang ingin bersama kami dan changemaker belia, untuk mencipta perubahan bermakna dan berkekalan.