AEON Jalinkan Kerjasama Strategik Bersama Tourism Malaysia Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

AEON CO. (M) BHD., atau AEON, mengumumkan kolaborasi strategik bersama Tourism Malaysia bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026). Menerusi kerjasama ini, AEON akan memainkan peranan aktif dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, beli-belah dan gaya hidup yang dinamik melalui pelbagai aktiviti serta tawaran eksklusif kepada pelancong tempatan dan antarabangsa yang mengunjungi pusat beli-belah AEON di seluruh negara.

Majlis kolaborasi ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, bertempat di AEON Mall Shah Alam. Pada majlis sama, AEON turut melancarkan beg tote dan headband edisi terhad AEON Mall x TMM 2026. Pengunjung berpeluang menebus barangan edisi terhad ini dengan perbelanjaan minimum RM350 di AEON menerusi gabungan sehingga tiga resit pembelian.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kolaborasi ini, AEON akan menampilkan maskot rasmi TMM 2026, Wira dan Manja, sebagai hiasan perayaan di pusat-pusat beli-belah AEON di seluruh negara. AEON juga akan bekerjasama dengan pelbagai pemain industri termasuk hotel, ejen pelancongan, syarikat penerbangan serta pusat beli-belah lain bagi mempromosikan kempen TMM 2026. Selain itu, video destinasi Visit Malaysia akan dipaparkan di skrin LED di pusat beli-belah AEON bagi menonjolkan kekayaan dan kepelbagaian produk pelancongan Malaysia sepanjang tempoh kempen.

AEON turut merancang pelbagai inisiatif menarik bagi memeriahkan TMM 2026, antaranya Cerita Raya bersama Wira dan Manja, AEON Carnival Bazaar yang menampilkan kepelbagaian makanan tempatan, serta penganjuran “Tourism Malaysia Run” di beberapa negeri terpilih. Pelbagai barangan penebusan eksklusif dan aktiviti interaktif lain juga akan diperkenalkan bagi meraikan TMM 2026 bersama keseluruhan ekosistem AEON, termasuk komuniti setempat serta pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurut Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi AEON, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Beliau berkata, kolaborasi ini membolehkan AEON menjadikan pusat beli-belahnya sebagai ruang interaksi dan gaya hidup yang selari dengan semangat kempen tersebut, sekali gus mengukuhkan peranan AEON Mall sebagai sebuah pusat beli-belah berkonsepkan gaya hidup.

AEON sememangnya konsisten menyokong usaha Kerajaan dalam memperkenalkan Malaysia kepada pelancong luar negara di samping merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelbagai promosi dan acara. Pada tahun lalu, AEON Mall telah bekerjasama dengan Tourism Malaysia menerusi beberapa program AEON Mall Shopping Tour yang diadakan di pusat-pusat beli-belah AEON di Johor. Inisiatif tersebut berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung dari Singapura untuk berkunjung dan membeli-belah di beberapa pusat beli-belah AEON sekitar Johor Bahru.

Sementara itu, Yang Berhormat Tuan Chiew Choon Man menyatakan bahawa kerjasama strategik antara AEON dan Tourism Malaysia ini mencerminkan peranan penting sektor swasta dalam menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026. Menurut beliau, inisiatif seumpama ini bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, malah turut menjana kesan limpahan ekonomi kepada industri berkaitan seperti peruncitan, hospitaliti dan perkhidmatan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan serta meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan.

Pada majlis yang sama, AEON turut mengumumkan barisan rakan strategik yang akan menjalankan pelbagai promosi sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Maklumat lanjut mengenai aktiviti, acara dan promosi berkaitan kempen ini akan dikongsikan melalui platform media sosial rasmi AEON Mall di laman web www.aeonmallmy.com, Facebook AEON Mall dan Instagram aeonmallmalaysia.