Bank Rakyat telah mengadakan majlis di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini untuk meraikan 17 pemenang utama daripada kempen yang berlangsung sejak akhir 2023 hingga Jun 2024, termasuk kempen ‘Tulus Ikhlas, Penuhi Impian, Cabutan Setengah Tahun Akaun Pelaburan-i Rizq Plus dan Emas 2 Kilo.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman, menyatakan bahawa empat kempen ini telah menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM1.3 juta kepada 415 pemenang yang merupakan pelanggan produk dan perkhidmatan Bank Rakyat.
“Bank Rakyat telah berusaha gigih selama tujuh dekad untuk memperkukuhkan hubungan dengan pelanggan melalui pelbagai inisiatif dan ganjaran khas yang disediakan melalui kempen-kempen tertentu,” kata Dato’ Dr. Mohammad Hanis.
Beliau menambah bahawa inisiatif ini bertujuan untuk menghargai sokongan berterusan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan Bank Rakyat setiap tahun.
Bersempena dengan Ramadan dan Syawal yang lalu, Bank Rakyat telah mengadakan kempen Tulus Ikhlas dari 12 Mac hingga 31 Mei 2024, yang memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi pelbagai hadiah menarik dengan hadiah keseluruhan melebihi RM400,000.
Pemenang tempat pertama kempen Tulus Ikhlas, Puan Siti Sarah Sayip dari Yong Peng, Johor, memenangi sebuah Proton X90. Tempat kedua, Encik Che Shariful Huzir Che Saari dari Kuantan, Pahang, memenangi Proton X70, manakala Encik Muhammad Farid Farhan Fazlee dari Kangar, Perlis, memenangi Proton X50.
Kempen Penuhi Impian, selari dengan aspirasi ‘Keluarga Madani’, dianjurkan untuk membantu pelanggan mencapai impian peribadi mereka. Kempen ini mencerminkan komitmen Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang mementingkan keperluan dan impian pelanggan.
Dilancarkan dari 15 Disember tahun lalu hingga 29 Februari 2024, kempen ini telah merealisasikan impian 10 pelanggan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM177,000. Antara impian yang dipenuhi termasuk mengubah suai rumah, membiayai perkahwinan, dan meningkatkan perniagaan.
Pada hari ini juga, Bank Rakyat mengumumkan pemenang Cabutan Setengah Tahun Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, dengan hadiah utama bernilai RM100,000 dimenangi oleh Encik Anuar Abdul Ghani dari Kuantan, Pahang. Sejak produk ini diperkenalkan pada Julai 2022, 2,961 pemenang telah terpilih termasuk empat pemenang hadiah RM100,000 dan seorang pemenang RM1 juta.
Kempen Emas 2 Kilo, yang berlangsung dari Oktober tahun lalu hingga Februari 2024, adalah sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan Ar-Rahnu dan untuk menggalakkan penggunaan khidmat Pajak Gadai-i Ar-Rahnu.
Kempen ‘Gadai dan Menang’, yang sudah masuk tahun keenam sejak dilancarkan pada 2018, menawarkan hadiah keseluruhan berupa dua kilogram emas bernilai RM637,000 kepada lebih 270 pemenang. Hadiah utama 500 gram emas bernilai RM150,000 dimenangi oleh Puan Faridah Matt dari Pokok Sena, Kedah.
Tempat kedua dimenangi oleh Encik Mohd Suhairy Abd Rahman dari Ampang, Selangor, yang memenangi 100 gram emas bernilai RM35,000, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Puan Aminah Alias dari Langkawi, Kedah, yang menerima 50 gram emas bernilai RM20,000.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, berkata bahawa dengan ulang tahun ke-70 yang bakal tiba pada 28 September 2024, Bank Rakyat tetap komited untuk menyediakan perkhidmatan perbankan yang cemerlang dan penyelesaian kewangan inovatif.
“Komitmen kami terhadap transformasi dan kecemerlangan ditunjukkan melalui pelbagai produk dan perkhidmatan yang kami tawarkan, dari pembiayaan hingga simpanan dan pelaburan, serta produk perancangan kewangan komprehensif, memenuhi keperluan dan aspirasi pelanggan kami,” kata Datuk Mohd Irwan.
Tambah beliau, “Bank Rakyat terus berinovasi untuk memastikan tawaran kami relevan dan memberi manfaat kepada pelanggan yang amat kami hargai. Perkhidmatan perbankan kami direka untuk memberikan kemudahan dan kecekapan, memastikan keperluan perbankan harian anda dipenuhi dengan cepat dan mudah.”
Pelanggan boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my untuk senarai penuh pemenang.