KEPERIHATINAN LUAR BIASA RAKYAT MALAYSIA DALAM PENGUMPULAN PAKAIAN MUSIM SEJUK BAHARU DAN TERPAKAI

Selama lebih dari satu minggu, Syria Care telah berkumpul beramai ramai di Dewan Melati, Seksyen 7 Shah Alam, mulai dari 14 Oktober hingga 22 Oktober 2023, untuk menjayakan projek ‘Warm Their Winter’. Inisiatif ini melibatkan pengumpulan pakaian musim sejuk baru dan terpakai melalui sumbangan sukarelawan dari masyarakat.

Sokongan yang ditunjukkan masyarakat di Lembah Klang dan juga luar dari negeri Selangor pada dua hari terakhir pengumpulan telah meningkatkan lagi sasaran 756 kotak pakaian musim sejuk baharu dan terpakai kepada 1,300 kotak dengan anggaran setiap satunya seberat 10 hingga 15 kilogram.

Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Puan Siti Sakinah Binti Meor Omar Baki berkata, sumbangan pakaian yang meningkat dalam masa dua hari ini adalah satu keajaiban dari tuhan serta menunjukkan rakyat Malaysia sentiasa menjadi tangan awal dalam membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Cabaran dihadapi pihak Syria Care ketika ini adalah dana bagi menghantar kontena yang masih belum mencapai sasaran yang diperlukan dan masih berbaki RM90,000.

Syria Care turut berterima kasih atas khidmat sukarelawan yang disumbangkan dari Briged Sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UITM), Management Science University (MSU), Kolej Poly-Tech Mara Cawangan Bangi (KPTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Politeknik Nilai dan Universiti Malaya (UM).

Projek ini juga mendapat kerjasama serta sokongan Sinar Karangkraf, Min Qalby Foundation, Qalby App, World Peace Entertainment, Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP ZON 3), De Haramin, Sasuke Bundle, Moon’s Kitchen serta Jakel Shah Alam.

Pelepasan kontena bantuan pakaian musim sejuk ini adalah fasa awal dari projek utama ‘Winter Aid’ Syria Care yang merangkumi bantuan pakaian musim sejuk (Warm Their Winter), bantuan bahan bakar (Fuel Aid) dan bantuan pek makanan (Order Food) dengan sasaran kutipan berjumlah RM1.3 juta sehingga Januari 2024.

Orang ramai yang ingin meringankan bebanan pelarian Syria dalam musim sejuk kali ini, boleh menyumbang kepada tabung ‘Winter Aid’ menerusi akaun Maybank: 562106653575 atau CIMB: 8601894560 dengan rujukan ‘WinterAid’.

Sehubungan itu, Syria Care mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak bagi memastikan penghantaran bantuan musim sejuk dapat dibuat dengan seberapa segera.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Syria Care di talian 011-37030900

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *