Karnival Jom Heboh Kembali Ke Angsana Johor Bahru Mall
Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 kini kembali menggegarkan warga Johor bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall. Diiktiraf sebagai “Longest Running Outdoor Carnival” oleh The Malaysia Book of Records, penganjuran edisi ke-23 ini terus menjadi destinasi ikonik yang menghimpunkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan hiburan untuk seisi keluarga. Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung berpeluang meneroka lebih 150 reruai jenama terkemuka, menikmati pelbagai sajian tempatan serta tular di Love Food Fest, dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta gigi secara percuma.
Bagi penggemar gaya hidup aktif, acara Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP menawarkan larian kategori 5KM dan 8KM, lengkap dengan pakej pendaftaran keluarga berserta peluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang lumayan. Di samping itu, Reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS) pula sarat dengan pengisian interaktif seperti pertandingan mewarna, cabaran karaoke, dan penampilan istimewa maskot Ejen Ali. Ruang ini turut memberi peluang kepada pengunjung untuk beramah mesra secara dekat dengan barisan selebriti, hos televisyen, dan personaliti Media Prima melalui sesi Meet & Greet yang dijadualkan setiap hari.
Kemuncak kemeriahan karnival ini sudah pastinya Konsert Jom Heboh yang akan menggegarkan pentas utama pada malam Sabtu dan Ahad bermula jam 9.00 malam. Dihoskan oleh Amirulhakim Lokman dan Haiza, konsert terbuka ini bakal diserikan dengan persembahan bertenaga daripada barisan artis terkenal tanah air termasuk Khai Bahar, Nabila Razali, Mamat Exist, Wany Hasrita, dan ramai lagi. Dengan pelbagai tawaran gaya hidup, hiburan, dan jualan di satu lokasi, edisi KJH Johor Bahru kali ini menjanjikan sebuah pengalaman hujung minggu yang bermakna buat seluruh warga selatan tanah air.














