Bakat muda, Muhammad Heyqal Misnin, membuktikan kehebatan vokal luar biasa apabila dinobatkan sebagai Johan Bintang Suara MELILEA 2026 dalam malam kemuncak yang berlangsung penuh gilang-gemilang di MELILEA APHQ, MELILEA Tower, Bangsar South.
Menerusi dendangan lagu bernada tinggi dan sarat emosi, Oscar Winning Tears yang dipopularkan oleh penyanyi antarabangsa Raye, Heyqal berjaya menewaskan saingan sengit 19 finalis lain di hadapan lebih 700 penonton. Kemenangan tersebut melayakkan beliau membawa pulang trofi kejuaraan, wang tunai RM3,000, serta baucar produk bernilai RM2,000.
Pentas akhir turut menyaksikan Muhammad Hadi Hafsham Hanapi muncul sebagai Naib Johan dengan persembahan bertenaga lagu I (Who Have Nothing), membawa pulang wang tunai RM1,500 dan baucar RM1,500. Tempat ketiga disandang oleh Ema Fazuana Mehat yang mempertaruhkan lagu Cinta nyanyian Marsha Milan, menerima hadiah tunai RM1,000 berserta baucar produk bernilai RM1,000. Selain itu, seramai 14 peserta menerima Anugerah Kecemerlangan, manakala Sulaiman Ibrahim dan Najmi Najihah Azlan masing-masing mengungguli Anugerah Penampilan Terbaik kategori lelaki dan wanita, diikuti Nurul Ainie Muhamad yang merangkul Anugerah Populariti menerusi undian penonton.

Pertandingan diadili oleh barisan juri profesional industri muzik tanah air, antaranya Edrie Hashim, Ong Peng Chu, Erul Samah, Amanda Imani, serta pengasas MELILEA, Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua dan Datuk Prof. Dr. Stella Chin. Menurut Ong Peng Chu, pemilihan Heyqal sebagai juara menepati standard tertinggi penjurian menerusi kawalan vokal yang kukuh, teknik nyanyian matang, serta penghayatan menyeluruh. Suasana malam kemuncak turut dihangatkan dengan persembahan pembukaan dan penutup bertenaga daripada artis jemputan Nas Adila bersama kru tarian, di samping penampilan istimewa barisan pengasas syarikat yang turut menyumbangkan suara bagi meraikan kejayaan generasi baharu seni suara.













