Kemeriahan Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT 2026) menampilkan lebih berskala besar tahun ini apabila digabungkan bersama konsert penghargaan ulang tahun ke-12 CUCKOOTOPIA. Mengangkat tema “Power”, kolaborasi istimewa ini meraikan kuasa peminat dan bintang hiburan tanah air serta antarabangsa menerusi dua acara kemuncak yang saling melengkapi.
Paling mencuri tumpuan, konsert CUCKOOTOPIA yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober 2026 di Stadium Merdeka bakal diterajui oleh bintang sensasi Korea Selatan merangkap Duta Global CUCKOO, Lee Junho. Konsert percuma bertemakan “Bloom in Batik” ini turut dijemput penghibur terkemuka seperti kumpulan Hujan dan Firdhaus, selain dihoskan oleh gandingan Kamal Adli, Owen Yap dan Fiza Frizzy. Menariknya, pemenang bagi empat kategori AMT 2026 turut akan diumumkan secara eksklusif di pentas konsert berkenaan.

Sebelum melangkah ke pentas CUCKOOTOPIA, debaran malam kemuncak AMT 2026 bakal disiarkan secara langsung dari Selangor International Trade Centre (SITC) pada 18 Oktober 2026 menerusi TV3 dan Tonton. Acara berprestij itu akan dikendalikan oleh Ain Edruce dan Kamal Adli, manakala acara Karpet Merah pula dihangatkan oleh Ceddy Ang, Fiza Frizzy dan Ferra Mazlan seawal jam 8.00 malam dengan dua anugerah khas, Fresh Smile Award Darlie serta Cheesy Pose Terhangat Gardenia QuickBites.
Malam anugerah itu turut diperhebat dengan kehadiran barisan penyampai trofi berprofil tinggi merentasi generasi seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rosyam Nor dan Erra Fazira. Pentas persembahan pula bakal bergegar dengan aksi bertenaga daripada penyanyi hebat seperti Misha Omar, Ernie Zakri, Nadeera, DOLLA, Haqiem Rusli, Aisha Retno serta ramai lagi artis ternama tempatan.
Bagi peminat yang ingin memastikan selebriti kegemaran membawa pulang trofi kemenangan, tempoh undian Top 5 kini dilanjutkan sehingga 11 Oktober 2026, jam 11.59 malam. Peminat juga berpeluang bertemu calon kegemaran di Hari Gabungan Kuasa yang bertempat di The Curve, Mutiara Damansara pada 11 Oktober bermula jam 12.00 tengah hari sebelum tirai undian ditutup secara rasmi.













