
Niat hati mahu mengimbau kenangan zaman sekolah, namun sebuah majlis pertemuan semula bertukar menjadi mimpi ngeri penuh misteri dalam filem seram terbaharu, Pemuja Syaitan. Naskhah arahan sulung Liyana Jasmay ini mempertaruhkan tema persahabatan, dendam serta rahsia gelap masa lalu yang menuntut bayaran nyawa. Siap sedia menghantui penonton di pawagam seluruh tanah air mulai 15 Oktober 2026.
Diterbitkan bersama Mermaid Studios dan Suraya Filem Production & Distribution, filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Nadhir Nasar, Elizabeth Tan dan Aila Azizul. Turut memantapkan jalan cerita adalah lakonan Ellyza Azizi, Dhabita Auji, Aida Amron, Hakim Khan serta ramai lagi pelakon berbakat. Naskhah ini turut mendapat sokongan padu Skop Productions selaku pengedar rasmi dan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran.
Kisah bermula apabila sekumpulan bekas rakan sekolah kembali berkumpul di kampung halaman mereka beberapa bulan selepas tamat persekolahan. Segalanya berubah menjadi tegang apabila mereka membuat keputusan untuk menggali semula kapsul masa yang pernah ditanam bersama. Tindakan itu bukan sahaja membongkar kembali sengketa dan pengkhianatan lama, malah mencetuskan peristiwa berdarah yang berakhir dengan penemuan enam mayat, seorang mangsa hilang dan seorang lagi mengalami trauma teruk.
Rentetan tragedi ngeri tersebut, Inspektor Zul lakonan Zul Ariffin dihantar ke pulau berkenaan bagi merungkai apa sebenarnya yang berlaku sepanjang malam kejadian. Namun, semakin mendalam siasatan dijalankan, semakin jelas bahawa terdapat entiti gelap dan kebenaran menakutkan yang menuntut harga jauh lebih mahal daripada sangkaan mereka. Bagi penggemar filem misteri dan seram tempatan, pastikan anda tidak melepaskan peluang menyaksikan debaran Pemuja Syaitan di pawagam berhampiran anda.





