Sentuhan Pro Menjelang Final: Enam ‘Super Meow-del’ Bukti Si Bulus Mampu Tampil Bergaya

Persaingan merebut gelaran juara Purina Felix Cat Fashion Week kini memasuki fasa paling mendebarkan apabila enam finalis terbaik bersiap sedia melangkah ke pentas akhir menerusi sesi Masterclass khas yang diperkenalkan buat julung kalinya. Bukan sekadar menumpukan aspek visual dan gaya, sesi komprehensif ini dirangka khusus untuk mengasah penjagaan holistik, keyakinan pentas, serta mengeratkan ‘chemistry’ antara pemilik dan si bulus masing-masing. Bengkel eksklusif ini menampilkan barisan pakar tersohor industri, iaitu Pengasas dan Pengajar Dandanan Kucing Mohd Jeffrey Mohd Ali, doktor veterinar Dr. Ima (Dr. Salehahtul Khuzaimah), serta pereka fesyen tanah air Mohamad Kashfi Zulkufli, yang membimbing peserta merentasi lima fokus utama: penjagaan dan dandanan, gaya hidup serta pemakanan, pembinaan keyakinan, penggayaan fesyen, dan latihan peragaan (catwalk).

Persiapan intensif para finalis dimulakan dengan teknik dandanan (grooming) asas dan kemasan rapi di bawah panduan Mohd Jeffrey, sebelum Dr. Salehahtul Khuzaimah berkongsi panduan penting mengenai nutrisi, hidrasi, serta rejim harian demi memastikan kesihatan dan stamina kucing berada pada tahap optimum. Seterusnya, para peserta didedahkan kepada kaedah mengendalikan kucing dalam persekitaran pentas yang mencabar, di samping bekerjasama rapat dengan pereka fesyen bagi mencipta rekaan busana yang melengkapi personaliti si bulus dan pemilik. Latihan catwalk turut menekankan aspek rentak langkah, postur, serta penyesuaian terhadap gangguan luar agar gandingan ini kekal tenang dan bersedia berhadapan sebarang situasi spontan ketika acara kemuncak berlangsung.

Enam gandingan hebat yang berjaya mara dan bakal berentap di pentas akhir ialah Norazizah Abu Kasim bersama Lolalisa, Aiman Syazani bersama Seri Embun, Aidil Jalil bersama Sashimi, Syazreen Irwina bersama Micco, Fara Juliana bersama Mochi, serta Ahmad Fazwan bersama Atithy. Diangkat dengan tema “Meow Menggoda, Comel Berganda”, program ini diterajui oleh Purina Felix selaku penaja utama dengan kerjasama Meow Meow sebagai penaja bersama. Peminat boleh menyaksikan sorotan perjalanan Top 6 menerusi Kapsul Purina Felix Cat Fashion Week di TV3 bermula 3 hingga 17 Oktober 2026, setiap Sabtu pada jam 7.50 malam, serta kandungan eksklusif di TikTok dan Instagram TV3 sebelum menyaksikan episod kemuncak finale pada 25 Oktober 2026 (Ahad), jam 9.00 malam.