
KUALA LUMPUR – Naskhah aksi tempatan terbaharu, CHELOT, terus membuktikan taringnya di layar perak apabila menerima kunjungan istimewa Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil, yang meluangkan masa menonton filem tersebut di GSC Mid Valley Megamall. Kehadiran beliau melambangkan sokongan padu kerajaan terhadap kebangkitan industri kreatif serta karya tempatan yang semakin mendapat sambutan hangat. Sesi tayangan tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan utama sektor industri kreatif, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Datuk Bahria Mohd Tamil, Pengerusi FINAS Dato’ Dr. Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, serta pelakon filem tersebut, Theebaan G.
Kejayaan filem terbitan Act 2 Pictures ini kian menyerlah apabila ia secara rasminya berjaya mengumpul seramai 1 juta penonton di pawagam seluruh tanah air. Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja menjadi detik membanggakan buat Adrian Teh selaku pengarah, penulis dan penerbit, malah membuktikan kepercayaan berterusan audiens tempatan terhadap kualiti pembikinan filem aksi berskala besar buatan Malaysia. Mengangkat jalan cerita penuh mendebarkan tentang keberanian, pengorbanan, serta konflik berdarah antara keadilan dan muslihat dunia jenayah, CHELOT diperkukuh dengan barisan pelakon handalan tanah air seperti Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar, Alicia Amin, Azhan Rani, dan Theebaan G.
Menambah prestij karya ini, CHELOT turut melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan dalam The Malaysia Book of Records bagi rekod “Longest Single-Take Action Sequence in a Movie”. Rekod berkenaan dicapai menerusi babak aksi ‘single-take’ tanpa henti berdurasi 5 minit 19 saat yang dirakam merentasi laluan sepanjang 1.9 kilometer, sekali gus memperlihatkan kepakaran teknikal tinggi kru produksi tempatan. Dengan momentum kutipan yang terus melonjak serta sambutan positif penonton, orang ramai dipelawa untuk tidak melepaskan peluang merasai sendiri debaran CHELOT yang kini masih giat ditayangkan di pawagam seluruh negara, di samping mengikuti perkembangan dan kandungan eksklusif filem menerusi saluran rasmi Primeworks Studios di media sosial.
