Heritage Valley Kuala Lumpur Jana Lebih RM4.6 Juta, Perkasa Lebih 500 Usahawan

YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (tengah)
menyempurnakan perasmian Heritage Valley Kuala Lumpur diiringi YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee
Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (dua dari kiri), YBhg.
Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Pengerusi UDA Holdings Berhad (dua dari kanan), YBhg. Dato’ Sri
Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad (kanan) dan YBrs. Encik Idi
Iskandar, Pengarah Urusan Luxe Acre Sdn Bhd.

Heritage Valley Kuala Lumpur terus menunjukkan potensi sebagai hab keusahawanan dan komuniti apabila menjana jualan terkumpul melebihi RM4.6 juta serta memberi manfaat kepada lebih 526 usahawan dan vendor bagi tempoh Ogos 2025 hingga Ogos 2026.

Hab yang dibangunkan di bawah inisiatif Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) oleh UDA Holdings Berhad (UDA) itu terletak di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur, di atas tapak seluas 1.71 ekar.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong berkata, pencapaian tersebut menunjukkan bagaimana ruang bandar yang strategik boleh dimanfaatkan bagi membuka akses pasaran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Heritage Valley kini menempatkan 26 usahawan yang beroperasi secara tetap di kiosk dan lot kedai, dengan purata jualan pada peringkat awal antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan bagi setiap vendor.

Pelbagai program dan aktiviti seperti Santai Maa, Secondlife Market, Slay Maa, Curators Lab dan Kuala Lumpur Bike Week turut dianjurkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan, selain berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung secara keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali berkata, kejayaan Heritage Valley tidak seharusnya diukur berdasarkan pembangunan fizikal atau kadar penghunian premis semata-mata, sebaliknya melalui sejauh mana ruang tersebut mampu mencipta peluang baharu, menghubungkan masyarakat serta membantu usahawan membina perniagaan yang mampan.

Menurut beliau, Heritage Valley turut dirancang untuk diperluaskan menerusi pembukaan kiosk baharu bagi menyediakan lebih banyak ruang niaga dan peluang pertumbuhan kepada usahawan tempatan.

Bagi tahun 2026 dan seterusnya, Heritage Valley menyasarkan untuk memberi manfaat kepada lebih 700 usahawan dan vendor.

Sebanyak 14 unit pop-up store turut akan diperkenalkan selain 26 lot tetap sedia ada, menjadikan keseluruhan 40 lot niaga dengan sasaran jualan melebihi RM6.5 juta setahun.

YB Encik Steven Sim Chee Keong (tengah) ketika mengadakan lawatan ke salah sebuah premis
selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Heritage Valley Kuala Lumpur.

Secara keseluruhan, projek MEH di seluruh negara telah memberi manfaat kepada 611 usahawan dan vendor setakat Ogos 2026, dengan anggaran jualan terkumpul melebihi RM7.75 juta.

Daripada jumlah tersebut, Heritage Valley menyumbang lebih RM4.6 juta, diikuti Santai Camp sebanyak RM2.3 juta dan Morten Walk, Melaka sebanyak RM850,000.

Selain Heritage Valley, MEH turut dilaksanakan di Morten Walk, Melaka dan Santai Camp, Johor, manakala sebuah lagi hab di Kundasang, Sabah kini dalam pembangunan.