100 Kanak-Kanak Terjemah Keindahan Malaysia Menerusi Seni

Seramai 100 kanak-kanak bakal menzahirkan pandangan dan imaginasi mereka mengenai Malaysia menerusi pertandingan melukis dan mewarna sempena Artsense Carnival 2026: Colours of Malaysia.

Program yang menggabungkan elemen seni, budaya dan pelancongan itu bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara menjelang sambutan Bulan Kebangsaan.

Karnival anjuran Artsense Edu Sdn Bhd dengan kerjasama Megah Rise Mall itu turut mendapat sokongan strategik Tourism Selangor Sdn Bhd.

Kerjasama berkenaan dapat memperkukuh usaha memperkenalkan warisan budaya dan destinasi pelancongan tempatan kepada generasi muda menerusi pendekatan lebih kreatif.

Pengasas dan Pengarah Artsense, Shawn Yap Chun Siong berkata, program tersebut bukan sekadar mengetengahkan bakat seni kanak-kanak.

Sebaliknya, ia turut memberikan peluang kepada mereka untuk memahami dan menghargai identiti negara melalui karya yang dihasilkan.

Menurutnya, setiap hasil seni yang dipamerkan mencerminkan cara kanak-kanak melihat Malaysia daripada pelbagai sudut, termasuk budaya, masyarakat dan lokasi yang menjadi kebanggaan negara.

“Melalui platform ini, kami mahu memberikan ruang kepada kanak-kanak untuk menyampaikan cerita mereka tentang Malaysia.

“Pada masa sama, mereka dapat mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian budaya, warisan dan keunikan negara melalui proses berkarya,” katanya.

Antara tarikan utama karnival ialah pertandingan melukis dan mewarna bertemakan Malaysia Through Your Eyes yang dianjurkan bersama Junior Chamber International Petaling Jaya.

Pertandingan itu melibatkan penyertaan 100 peserta muda yang akan menterjemahkan persepsi mereka terhadap Malaysia melalui seni visual.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, penglibatan agensi itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas promosi pelancongan menerusi pendekatan berasaskan komuniti dan keluarga.

Menurut beliau, pelancongan tidak seharusnya dilihat sebagai aktiviti mengunjungi sesuatu destinasi semata-mata.

Pelancongan turut merangkumi penghayatan terhadap sejarah, budaya dan identiti yang membentuk sesebuah tempat.

“Program seperti ini membolehkan generasi muda memperkenalkan Malaysia daripada perspektif mereka sendiri.

“Pada masa sama, ia menggalakkan keluarga meneroka destinasi menarik yang terdapat di Selangor dan seluruh negara,” katanya.

Selain menjadi lokasi penganjuran, Megah Rise Mall menyediakan ruang kepada masyarakat untuk menyertai pelbagai aktiviti berteraskan seni dan budaya.

Pendekatan itu mewujudkan sebuah platform yang menghimpunkan keluarga, komuniti kreatif dan orang ramai dalam satu acara.

Karnival tersebut turut mendapat sokongan Golden Destinations yang membantu pelaksanaan Sun Bear Workshop.

Artsense Studio juga bekerjasama dengan National Autism Society of Malaysia untuk membimbing kanak-kanak sepanjang aktiviti seni berlangsung.

Karya seni yang dihasilkan oleh komuniti autisme akan dipamerkan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Artsense Studio.

Selain penyertaan kanak-kanak, program tersebut membuka ruang kepada artis tempatan dan usahawan industri kreatif untuk mempamerkan hasil karya masing-masing.

Usaha itu sekali gus memperluas penglibatan komuniti dalam pelbagai aktiviti berteraskan seni.

Penganjuran Artsense Carnival 2026 turut dilihat selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menekankan usaha memperkukuh promosi warisan budaya dan destinasi pelancongan tempatan melalui penglibatan masyarakat.

Artsense menyasarkan penganjuran karnival tersebut dapat diperluas ke beberapa negeri lain, termasuk Melaka, Johor dan Pulau Pinang pada masa hadapan.

Pihak penganjur turut berhasrat menjadikan program itu sebagai acara tahunan yang meraikan kepelbagaian budaya serta bakat kreatif kanak-kanak di seluruh negara.

Artsense bertindak sebagai penganjur utama, manakala Megah Rise Mall merupakan penganjur bersama dengan sokongan Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Golden Destinations menjadi rakan pelancongan, manakala National Autism Society of Malaysia bertindak sebagai rakan amal.

Global Creative & Media Agency merupakan rakan publisiti rasmi, sementara Signmastr Advertising menjadi rakan percetakan.

Rakan strategik yang terlibat terdiri daripada Malaysia Retail Chain Association, Malaysia Digital Chamber of Commerce, Malaysia Budget & Business Hotel Association, Persatuan Usahawan Maju Malaysia, Junior Chamber International Petaling Jaya serta Malaysia Fashion, Modeling and Pageant Association.

A One School dan Pamame turut terlibat sebagai rakan media, manakala Dance Zone Performing Arts Academy, DJs Playground dan ChampsMan Academy menjadi rakan persembahan.

Karnival itu turut menerima kerjasama Famous Amos, Fei Fei Crab Restaurant, Face Bar, Zoey’s Homemade, Tea’Sane, KS Innovative dan Artopus.