Rakyat Malaysia Semakin Utamakan Kesihatan Holistik

Herbalife mengumumkan hasil tinjauan terbaharunya yang menunjukkan peningkatan jelas dalam budaya kesejahteraan di Malaysia.

Fenomena tersebut menekankan usaha aktif untuk mencapai kesejahteraan holistik melalui gabungan kesihatan fizikal, mental dan emosi.

Tinjauan Budaya Kesejahteraan Asia Pasifik Herbalife 2026 mendapati 82 peratus responden di rantau Asia Pasifik menganggap kesihatan holistik sebagai sangat atau amat penting.

Sebanyak 74 peratus pula menganggap kesihatan holistik kini lebih penting berbanding tiga tahun lalu.

Trend sama turut dilihat di Malaysia apabila 81 peratus daripada 1,001 responden menganggap kesihatan holistik sebagai sangat atau amat penting.

Dapatan kajian itu menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat Malaysia terhadap keperluan meningkatkan kualiti tidur, kesejahteraan mental, pengurusan tekanan, kualiti pemakanan dan pengurusan berat badan.

Sebanyak 45 peratus responden mahu meningkatkan kualiti tidur, manakala 38 peratus memberikan perhatian kepada kesejahteraan mental dan pengurusan tekanan.

Selain itu, 35 peratus mahu meningkatkan kualiti pemakanan dan 31 peratus memberikan tumpuan kepada pengurusan berat badan bagi membentuk rutin lebih sihat dalam jangka panjang.

Tinjauan yang dijalankan pada Mei 2026 itu melibatkan lebih 10,000 responden dari 11 negara.

Negara yang terlibat ialah Australia, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Apabila ditanya mengenai faktor utama yang menyumbang kepada trend tersebut, 45 peratus responden Malaysia menyenaraikan kebimbangan terhadap kesihatan diri sebagai pendorong utama.

Faktor lain ialah peningkatan usia sebanyak 43 peratus, kesedaran terhadap trend kesejahteraan sebanyak 39 peratus dan peningkatan kos penjagaan kesihatan sebanyak 39 peratus.

Pengarah Kanan merangkap Pengurus Besar Herbalife Malaysia dan Singapura, Steven Chin berkata, rakyat Malaysia semakin mementingkan kesejahteraan diri secara menyeluruh.

“Dapatan Tinjauan Budaya Kesejahteraan Asia Pasifik Herbalife 2026 menunjukkan rakyat Malaysia semakin mementingkan kesejahteraan diri secara menyeluruh dan lebih bersungguh-sungguh dalam membentuk tabiat yang lebih sihat.

“Daripada meningkatkan kualiti tidur dan pemakanan kepada mengurus tekanan serta mengekalkan berat badan sihat, pengguna kini mengambil pendekatan lebih holistik terhadap kesihatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kekangan masa dan motivasi masih menyukarkan ramai individu untuk mengekalkan tabiat sihat secara konsisten.

Keadaan tersebut mengukuhkan kepentingan pemakanan praktikal berasaskan sains, bimbingan yang diperibadikan dan komuniti yang saling menyokong dalam membantu individu mencapai matlamat kesejahteraan jangka panjang.

Kira-kira separuh daripada pengguna Asia Pasifik yang ditinjau berkata, peningkatan budaya kesejahteraan telah menjadikan mereka lebih peka terhadap kepentingan mengutamakan kesejahteraan diri.

Di Malaysia, sebanyak 58 peratus responden berkata kepelbagaian dan kekerapan aktiviti kesejahteraan yang dilakukan telah meningkat berbanding tiga tahun lalu.

Antara aktiviti kesejahteraan yang paling banyak diamalkan ialah memperbaiki tabiat tidur, membuat pilihan makanan lebih sihat, bersenam secara berkala dan mengurus berat badan.

Sebanyak 49 peratus responden memberikan perhatian kepada tabiat tidur, manakala 48 peratus membuat pilihan makanan lebih sihat.

Selain itu, 39 peratus bersenam secara berkala dan 37 peratus mengambil langkah untuk mengurus berat badan.

Dapatan tersebut menunjukkan bahawa amalan berkaitan kesejahteraan semakin menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat Malaysia.

Ramai pengguna di Malaysia turut berperanan sebagai penggerak kesejahteraan dalam komuniti masing-masing.

Hampir separuh daripada responden berkata mereka pernah menyediakan atau membeli makanan lebih sihat untuk orang lain atau berkongsi perjalanan kesejahteraan dengan individu lain dalam tempoh 12 bulan lalu.

Lebih 81 peratus daripada mereka yang membeli makanan untuk orang lain atau berkongsi nasihat mengenai kesejahteraan berkata, mereka kini melakukannya dengan lebih kerap berbanding tiga tahun lalu.

Walaupun terdapat kemajuan dalam usaha mencapai kesejahteraan holistik, hanya dua daripada lima responden di rantau Asia Pasifik berkata keadaan kesihatan fizikal, mental dan emosi mereka lebih baik berbanding tiga tahun lalu.

Di Malaysia, kekangan masa sebanyak 40 peratus dan kekurangan motivasi sebanyak 35 peratus menjadi cabaran utama yang menghalang responden daripada mengekalkan tabiat hidup sihat.

Keluarga, rakan-rakan dan media sosial dikenal pasti sebagai sumber utama yang berpotensi memberikan kesan positif terhadap kesihatan mereka.

Sebanyak 64 peratus responden mengharapkan lebih banyak sokongan daripada komuniti terdekat untuk meningkatkan kesihatan fizikal.

Pada masa sama, 56 peratus memerlukan sokongan bagi kesejahteraan emosi dan 55 peratus bagi kesihatan mental.

Rakyat Malaysia juga semakin terbuka untuk berkongsi dan menggalakkan amalan hidup sihat, dengan 76 peratus responden berkata mereka kini lebih terbuka untuk berbuat demikian berbanding tiga tahun lalu.

Steven berkata, rakyat Malaysia tidak perlu melalui perjalanan menuju kesejahteraan secara bersendirian.

“Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan komuniti boleh memberikan impak besar dalam membantu individu mengatasi cabaran serta kekal berpegang pada matlamat kesihatan mereka.

“Dengan mewujudkan persekitaran yang menyokong dan menjadikan amalan hidup sihat lebih mudah diakses, diperibadikan serta diamalkan secara berterusan, kita dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia membentuk tabiat sihat yang berkekalan, sekali gus menjalani kehidupan lebih sihat dan bermakna,” katanya.