Manforce Group Berhad, penyedia perkhidmatan pengurusan pekerja asing yang komprehensif, perkhidmatan buruh manual dan penyelesaian pengurusan asrama, telah memperoleh kontrak selama tiga tahun bernilai kira-kira RM3.4 juta daripada Orgabio Manufacturing Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Orgabio Holdings Berhad.
Kontrak tersebut telah dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh Manforce, Manforce Resources (M) Sdn. Bhd., bagi menyediakan perkhidmatan mobilisasi dan pengurusan harian untuk seramai 120 pekerja asing yang menyokong operasi Orgabio Manufacturing.

Penglibatan ini dijangka berlangsung selama 36 bulan, tertakluk kepada kelulusan kuota pengambilan pekerja asing yang berkaitan. Nilai akhir kontrak bergantung kepada jumlah sebenar pekerja yang dikerahkan serta perkhidmatan yang digunakan sepanjang tempoh kontrak.
Melalui kontrak ini, Manforce akan menguruskan keseluruhan kitaran pekerjaan pekerja asing, termasuk permohonan kerajaan dan imigresen, pembaharuan permit kerja, pemeriksaan perubatan, penyediaan penginapan, pengangkutan serta kebajikan harian pekerja.
Dengan menyediakan semua perkhidmatan ini menerusi satu platform bersepadu, Manforce membolehkan pelanggan memberi tumpuan kepada operasi teras perniagaan mereka sambil memastikan tenaga kerja diuruskan secara teratur serta mematuhi keperluan buruh dan imigresen Malaysia.

Pengarah Urusan Manforce Group Berhad, Dato’ Wong Boon Ming berkata, kontrak tersebut merupakan satu perkembangan positif buat syarikat, khususnya ketika Manforce terus mengembangkan portfolio perkhidmatan pengurusan tenaga kerja berulang selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE.
Beliau berkata pengurusan tenaga kerja asing melibatkan lebih daripada sekadar penyediaan pekerja kerana ia turut merangkumi dokumentasi, pembayaran gaji, penginapan, pengangkutan, kebajikan pekerja dan pematuhan kepada peraturan.
Menurut beliau, peranan Manforce adalah untuk menyatukan semua keperluan tersebut di bawah satu penyelesaian yang tersusun bagi membolehkan pelanggan menumpukan perhatian kepada pertumbuhan dan operasi perniagaan mereka.
Sekiranya tiada sebarang keadaan luar jangka, kontrak ini dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham serta aset bersih Manforce bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2027.











