Eco-Shop, peruncit barangan keperluan rumah terkemuka di Malaysia, melancarkan kempen Merdeka bertemakan “Raikan Seni Kita, Jiwa Bangsa” yang akan berlangsung di seluruh negara dari 1 Ogos hingga 30 September 2026.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69, kempen ini mengajak rakyat Malaysia menzahirkan kecintaan terhadap tanah air melalui kreativiti dan seni yang mencerminkan kisah, tradisi serta pengalaman yang membentuk identiti rakyat Malaysia.

Kempen tersebut berlandaskan kepercayaan bahawa seni merupakan medium ekspresi diri yang bermakna. Melaluinya, rakyat Malaysia diberi peluang untuk meneroka identiti masing-masing serta berkongsi perspektif yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik.
Eco-Shop berharap kempen ini dapat menyemarakkan kreativiti berinspirasikan Malaysia dalam kehidupan seharian, sekali gus menjadikan ekspresi seni sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, setiap rakyat Malaysia mempunyai cara tersendiri untuk menzahirkan erti kemerdekaan.
Menurut beliau, seni mampu menghidupkan setiap bentuk ekspresi tersebut dan menjadikannya lebih mudah dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Eco-Shop menjalinkan kerjasama dengan kolektif kreatif tempatan, Projek SembangSembang, bagi menghasilkan rangkaian eksklusif barangan Merdeka edisi terhad yang menampilkan ilustrasi asli berinspirasikan budaya tempatan.
Koleksi eksklusif itu merangkumi tiga rekaan buku nota, sebuah beg guna semula dan satu pek pelekat dengan pelbagai ilustrasi unik yang dijual pada harga RM2.60 setiap satu.
Berinspirasikan kisah, tradisi dan elemen budaya tempatan, koleksi tersebut memberi sentuhan baharu kepada barangan kegunaan harian, sekali gus menjadikannya cenderamata bermakna yang meraikan kreativiti dan warisan Malaysia.
Jessica berkata, kerjasama bersama Projek SembangSembang bertujuan memastikan semangat Merdeka terus dirasai walaupun selepas sambutan berakhir menerusi karya seni asli yang diaplikasikan pada barangan harian.
Koleksi Projek SembangSembang boleh didapati di semua cawangan Eco-Shop di seluruh negara bermula 1 Ogos 2026.
Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai barangan keperluan Merdeka seperti Jalur Gemilang, hiasan dan aksesori sambutan bagi memudahkan rakyat Malaysia menyemarakkan bulan kemerdekaan tanpa membebankan perbelanjaan.
Bagi menghidupkan lagi suasana sambutan, semua cawangan Eco-Shop di seluruh negara turut dihiasi dengan dekorasi dan paparan bertemakan Merdeka sepanjang tempoh kempen, sekali gus menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik dan bermakna kepada pelanggan.









