
Kuching, 10 Julai 2026 — Warga Sarawak bakal disajikan dengan kemeriahan Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai 2026, Kota Samarahan yang kembali menemui pengunjung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Pekarangan Sebelah Majlis Perbandaran Kota Samarahan. Memasuki tahun ke-23 penganjurannya dan diiktiraf sebagai “Longest Running Outdoor Carnival” oleh The Malaysia Book of Records, KJH terus menjadi antara acara padang ikonik yang menghimpunkan masyarakat menerusi gabungan hiburan, aktiviti kekeluargaan, gaya hidup dan penglibatan komuniti.
Dengan kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), penganjuran kali ini turut membuka peluang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat pelbagai agensi di bawah kementerian berkenaan menerusi pameran, aktiviti dan inisiatif yang disediakan sepanjang karnival. Kehadiran pelbagai reruai daripada agensi kerajaan, usahawan dan jenama terkenal turut memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung untuk berinteraksi, mendapatkan maklumat serta menikmati pelbagai promosi dan tawaran menarik.
Sepanjang tiga hari berlangsung, orang ramai boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, Kids Colouring Contest, Zumba Challenge, Jom Lokal Jam, pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma serta sesi Meet & Greet bersama barisan selebriti, pelakon dan personaliti televisyen. Antara personaliti Media Prima yang bakal memeriahkan acara ialah Shafiq Adnan, Afrina Romzi, Fahiz Ariff, Fadzly Fuad, Hanif Miswan, Haniff Hot FM dan Kieran KoolFM, manakala sesi Meet & Greet turut menampilkan Ariana Yusof, Cristina Suzanne, Chacha Maembong, Cahaya Nilam, Irfan Zaini, Nasuha Sulaiman dan Zairi Aziz.
Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai pengalaman interaktif di reruai New Straits Times Press (NSTP) menerusi Dunia Kreatif NSTP yang menggabungkan kreativiti, literasi media dan aktiviti kekeluargaan. Antara tarikan yang disediakan termasuk Pertandingan Mewarna, Sesi Seni Kraf & Origami, Photobooth Muka Depan NSTP serta Ruang Permainan Konsol yang menawarkan hiburan digital dan e-sukan untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.

Bagi penggemar aktiviti kecergasan, Jom Heboh Fun Run kembali untuk edisi kedua dengan dua kategori larian, iaitu 5KM dan 8KM. Peserta berpeluang menerima medal finisher eksklusif, jersi rasmi, tote bag, bib dan goodies, selain menikmati pakej keluarga bagi penyertaan empat orang dalam kategori 5KM. Pelbagai hadiah cabutan bertuah turut menanti, manakala kehadiran personaliti Media Prima dan artis seperti Aepul Roza, Fiq Halim serta Aweera dijangka menambahkan lagi kemeriahan acara.
Kemuncak KJH Sarawak Segulai Sejalai 2026 pastinya Konsert Jom Heboh yang bakal berlangsung pada malam Sabtu dan Ahad. Pada 1 Ogos, pentas akan dimeriahkan dengan persembahan Haiza Hanafi, Mariam Saim, Aepul Roza, Fiq Halim, Aweera dan Kristal X. Sementara itu, malam penutup pada 2 Ogos bakal menampilkan Baby Shima, Wany Hasrita, K.O.I, Syamel dan Marsha Milan bersama barisan penghibur lain untuk memberikan persembahan penuh bertenaga kepada para pengunjung.
Selain hiburan dan aktiviti komuniti, Love Food Fest turut menjadi antara tarikan utama dengan menghimpunkan pelbagai vendor makanan viral dan tempatan. Gabungan makanan, gaya hidup, aktiviti keluarga dan hiburan ini menjadikan KJH sebagai destinasi sesuai untuk orang ramai meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan.
Dengan reputasi sebagai platform komuniti yang mampu menarik purata lebih 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi, KJH Sarawak Segulai Sejalai 2026 dijangka sekali lagi menghidupkan suasana Kota Samarahan dengan pengalaman penuh warna dan kemeriahan. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 untuk menikmati pelbagai aktiviti menarik, bertemu selebriti serta personaliti kegemaran dan merasai sendiri pengalaman hiburan serta kebersamaan yang menjadi identiti Karnival Jom Heboh.
Gunakan tanda pagar rasmi kami #JomHeboh, #KarnivalJomHeboh, dan #KJHSarawak untuk berkongsi detik istimewa anda. Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti kami di Facebook dan Instagram: @jomhebohofficial.



