Hijjaz Kembali dengan Album Studio Terbaharu, “Akhir Bersamamu”, Julai Ini

PETALING JAYA, 14 JULAI 2026 — Kumpulan nasyid legenda tanah air, Hijjaz, bakal mengubat kerinduan para peminat dan pencinta irama ketuhanan menerusi pelancaran album studio terbaharu berjudul Akhir Bersamamu. Album yang dinanti-nantikan itu dijadualkan menemui pendengar di semua platform penstriman digital utama bermula 10 Julai 2026, sekali gus menandakan kemunculan karya baharu kumpulan berkenaan selepas hampir tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air.

Bersempena pelancaran album tersebut, satu Majlis Sidang Media Khas turut diadakan pada 14 Julai 2026 bagi memperkenalkan karya terbaharu ini dengan lebih dekat, selain berkongsi perincian mengenai proses penghasilannya bersama rakan-rakan media dan penggiat industri muzik.

Menerusi album Akhir Bersamamu, Hijjaz tampil dengan enam buah lagu baharu yang masih mengekalkan identiti harmoni vokal unik kumpulan tersebut, namun diberikan sentuhan susunan muzik yang lebih segar dan sesuai dengan cita rasa pendengar masa kini. Menariknya, kesemua lagu dalam album ini mendapat sentuhan daripada barisan komposer berpengalaman yang juga merupakan anggota Hijjaz sendiri, iaitu Isman Hijjaz, Munif Hijjaz, Faizal Hijjaz dan Ariffin Rahim.

Dalam usaha menyampaikan mesej dakwah, nilai kemanusiaan serta kecintaan kepada agama dengan lebih mendalam, Hijjaz turut bekerjasama dengan barisan penulis lirik yang dikenali dengan karya puitis dan berkualiti. Antara penulis lirik yang terlibat ialah Datuk Habsah Hassan, Lukhman S, Ahmad Fedtri Yahya, Atie, Isman Isam dan Abai Os, yang masing-masing menyumbang sentuhan tersendiri dalam menghasilkan karya yang sarat dengan mesej dan penghayatan.

Senarai trek lagu album “Akhir Bersamamu”:

  • Salam Maulidur Rasul
  • Mati Itu Pasti
  • Inang Cinta Memuji
  • Akhir Bersama-MU
  • Seiring Seganding
  • Rufaidah Al-Aslamiyah

Diterbitkan sebagai projek khas di bawah syarikat penerbitan Inteam Records Sdn. Bhd., album Akhir Bersamamu bukan sekadar menjadi manifestasi kematangan muzik Hijjaz setelah hampir 30 tahun berkarya, malah membawa harapan agar setiap lagu yang dihasilkan mampu menjadi sumber inspirasi dan pengubat jiwa kepada masyarakat.

Dengan mengetengahkan tema ketuhanan, dakwah, kemanusiaan dan sirah, album ini dijangka terus mengukuhkan kedudukan Hijjaz sebagai antara kumpulan nasyid berpengaruh yang berjaya mengekalkan relevansi dalam industri muzik tanah air. Kehadiran Akhir Bersamamu juga menjadi peluang buat generasi baharu mengenali keindahan muzik nasyid, di samping mengajak pendengar menghayati mesej positif yang disampaikan menerusi setiap karya.